Isnin, 23 Julai 2018 | 10:35pm
MOHAMADDIN Ketapi (empat dari kanan) diiringi Ketua Menteri, Adly Zahari (empat dari kiri) merasmikan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2018 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir. - Foto Rasul Azli Samad

Malaysia sasar 10 destinasi utama pilihan pelancong

MELAKA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mensasarkan kedudukan tangga 10 terbaik dunia sebagai destinasi utama pilihan pelancong, berbanding ke-12 yang dicatatkan tahun lalu.

Menterinya, Mohamaddin Ketapi berkata, bagi mencapai objektif itu kementeriannya mengunjurkan sehingga 33.1 juta kehadiran pelancong asing ke negara ini sehingga hujung tahun ini.

Antara Januari hingga April lalu, katanya, seramai 8.47 juta pelancong asing sudah melawat negara ini.

"Melaka diiktiraf kementerian sebagai destinasi pelancongan paling popular di negara ini selepas Kuala Lumpur. Sejak 1999, kehadiran pelancong ke negeri ini meningkat dengan jumlah kehadiran tertinggi mencecah 16.79 juta yang dicatatkan pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2018 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, di sini, malam ini.

Sambutan HMA Peringkat Kebangsaan 2018 Kali ke-22 tahun ini bertemakan Jaringan Muzium: Pendekatan Baharu, Sasaran Baharu

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Omar Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim serta EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Muhammad Jailani Khamis.

Dalam pada itu, Mohamaddin menggesa supaya kemudahan muzium di seluruh negara dipertingkatkan untuk lebih gah di persada antarabangsa, sekali gus melayakkannya menerima pengiktirafan Malaysia Tourism Quality Assurance atau MyTQA.

"Siapkan muzium kita dengan mencipta dan mempelbagaikan kaedah dalam menterjemah dan mempersembahkan koleksi yang ada.

"Ia selaras hasrat kementerian untuk meningkatkan kualiti produk pelancongan negara kerana kita sedang ke arah masa depan yang lebih mencabar khususnya dari segi tawaran produk pelancongan," katanya.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri teruja apabila diberi penghormatan sebagai tuan rumah pada tahun ini yang menghimpunkan lebih 1,000 warga muzium dari seluruh negara selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2007.

490 dibaca
Berita Harian X