Rabu, 27 Disember 2017 | 8:18am
NURFARAHAIN Zakaria (tengah) menunjukkan cara solekan kepada peserta yang terlibat dalam kelas solekan secara percuma di studio Baby Makeup di Kampung Sungai Baru, Gunung Keriang.- Foto Amran Hamid
NURFARAHAIN Zakaria (tengah) bersama dengan peserta yang terlibat dalam kelas solekan secara percuma di studio Baby Makeup di Kampung Sungai Baru, Gunung Keriang.- Foto Amran Hamid

Nurfarahain anjur kelas solek percuma selepas dikecam

ALOR SETAR : Kecaman diterima kerana mengendalikan tutorial solekan dari kota London dan Paris bulan lalu, langsung tidak melemahkan semangat Siti Nurfarahain Zakaria, untuk terus memajukan diri bidang yang diminatinya itu.

Di sebalik kecaman itu, ramai pengikut akaun Facebooknya tampil memberi kata semangat dan menyokong usahanya supaya tidak mudah tunduk terhadap sebarang kritikan yang tidak membina.

Menyedari ramai yang menyokongnya, Siti Nurfarahain, 29, tampil menghargai pengikut laman sosial dengan menganjurkan kelas solekan secara percuma di studio miliknya, Babys Makeup Studio di sini.

Menariknya, kelas solekan percuma yang disertai 27 pengikut itu menarik penyertaan peserta seawal usia 13 tahun, selain wanita dari luar Kedah.

Nurfarahain berkata, idea menganjurkan kelas solekan percuma ini muncul selepas dirinya dikecam hebat gara-gara insiden terbabit, bulan lalu.

Katanya, ketika menerima kata-kata cacian itu, ramai pengikutnya memberi kata semangat dan menyokongnya supaya tidak tunduk terhadap kritikan.

"Justeru, saya menganjurkan kelas percuma ini bagi menghargai pengikut yang banyak memberi semangat dan dorongan.

"Saya tidak sangka menerima sambutan hebat apabila ada peserta dari Selangor dan Pulau Pinang turut serta.

"Selalunya untuk kelas solekan begini, saya mengenakan bayaran sekurang-kurangnya RM150 seorang tetapi bagi penganjuran kali ini, saya sediakan percuma.

Tak kisah keluar peruntukan

"Saya tidak kisah berkorban mengeluarkan peruntukan untuk menyediakan barang solekan asalkan mereka gembira, selain dapat membantu wanita ini tampil lebih yakin," katanya ketika ditemui, di sini.

Pada masa sama, Nurfarahain berkata, beliau amat berpuas hati kerana niatnya untuk membantu wanita tampil cantik, selain mencari rezeki melalui bidang solekan ini tercapai melalui penganjuran kelas ini.

Katanya, kebanyakan peserta yang turut serta dalam kelas solekan percuma ini adalah terdiri daripada pelajar dan suri rumah yang tidak mampu untuk mengikuti kelas berbayar.

"Pada mulanya saya menerima penyertaan sehingga 3,000 lebih dan terpaksa tapis dengan memberikan peluang kepada mereka yang betul-betul berminat dan mengikuti tutorial solekan saya.

"Jadi pada tahun hadapan, saya bercadang menganjurkan kelas solekan percuma juga namun dalam konteks lebih besar supaya lebih ramai dapat sertai," katanya yang kini mempunyai lebih 976,000 pengikut di Facebook.

Sementara itu peserta, Nur Auni Nabila Mohd Rizal, 13, dari Changlun, berkata dia meminati Nurfarahain sejak tahun lalu dan pastinya peluang untuk menyertai kelas percuma ini tidak akan disia-siakan.

"Saya memang meminati bidang solekan sejak sekolah rendah lagi kerana banyak menyertai acara kebudayaan.

Belajar teknik solekan

"Saya berpendapat tidak salah kita belajar teknik solekan seawal mungkin untuk keyakinan diri, malah ibu-bapa juga menyokong minat saya ini," katanya.

Seorang lagi peserta, Nur Qaliesya Norizzali, 15, pula berkata, dia bersyukur kerana bapanya sendiri menyokong minatnya untuk mempelajari teknik solekan dengan menghantarnya ke kelas percuma ini.

"Tidak semua jurusolek boleh membuat acara amal seperti ini dan ia amat bagus dalam memberi pendedahan kepada teknik solekan asas," katanya.

7598 dibaca
Berita Harian X