Sabtu, 10 Februari 2018 | 3:18pm
RANJIT bersama kumpulan sokongan Pink InspirerS mahu mendekati lebih ramai pesakit kanser payudara di seluruh negara ini. - Foto Amirudin Sahib

Pink InspirerS bantu pesakit barah payudara tahap empat

KUALA LUMPUR: Seramai 12 bekas penghidap kanser payudara menubuhkan kumpulan sokongan, iaitu Pink InspirerS bagi membantu memulihkan semangat wanita lain, khususnya pesakit kanser payudara metastatik (mBC) untuk terus hidup.

Kumpulan sokongan itu diletakkan di bawah Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) akan menyampaikan maklumat tepat dan komprehensif mengenai penyakit termasuk dari aspek pilihan rawatan serta cara menghadapi kesan sampingan penyakit itu.

Presiden Pink InspirerS, Ranjit Kaur, berkata persatuan itu ditubuhkan bagi membantu penghidap mBC, yang menyebabkan membabitkan penularan sel kanser ke bahagian organ lain seperti tulang, paru-paru, hati dan otak.

Selain penghidap, ahli keluarga terdekat akan mendapatkan khidmat nasihat, latihan, pendidikan dan maklumat terkini mengenai rawatan penyakit terbabit.

Katanya, pesakit kanser metastatik yang juga kanser tahap empat lazimnya dibayangi dengan kematian dan tiada penawar mengakibatkan pesakit mula mengalami kemurungan dan ketakutan sehingga mereka hilang keyakinan diri untuk terus hidup.

"Lazimnya penghidap mBC mengalami beban emosi yang sangat berat. Namun, apa yang lebih penting adalah untuk menggalakkan perbincangan yang produktif mengenai rawatan dan pengurusan kanser payudara metastatik.

Aktiviti kesedaran

"Kebanyakan aktiviti kesedaran komuniti lebih tertumpu pada pengesanan awal dan rawatan kanser payudara. Kemudian kita akan memberikan pendidikan dan maklumat mengenai kanser payudara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program kumpulan sokongan Pink InspirerS dengan sokongan syarikat farmaseutikal, Pfizer, di sebuah restoran di sini, kelmarin.

Pfizer diwakili Pengarah Hubungan Korporat Kesihatan dan Nilai Pfizer Malaysia (M), Noor Yang Azuwar Kamarudin.

Pada majlis itu Pfizer menyampaikan sumbangan cek replika bernilai RM60,000 kepada BCWA bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk kumpulan sokongan itu.

Ranjit berkata, kumpulan sokongan itu juga akan memberi peluang kepada bekas pesakit kanser dan penghidap mBC untuk turun padang berkongsi pengalaman dengan penghidap payudara lain.

Katanya, kumpulan sokongan itu akan dimulakan di lima zon termasuk bahagian selatan, utara, tengah, Sabah dan Sarawak secara berperingkat mulai bulan depan.


NOOR Yang Azuwar (kiri) menyerahkan replika cek kepada Ranjit pada pelancaran program kumpulan sokongan Pink InspirerS di Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib

"Seperti diketahui umum, kanser payudara pembunuh nombor satu wanita di negara ini dan kebiasaannya, pesakit mengalami kemurungan apabila diberitahu mengenai keadaan mereka.

"Keadaan itu diburukkan lagi kerana kurangnya maklumat tepat dan boleh dipercayai mengenai pengurusan penyakit serta rangkaian sokongan sosial yang tidak mencukupi menyebabkan kebanyakan penghidap kanser payudara metastatik berasa bingung dan tiada arah tujuan," katanya.

Sementara itu, ahli kumpulan sokongan itu, Chang Chu San, 54, berbangga kerana berpeluang berkongsi pengalamannya sebagai penghidap mBC sejak menderita empat tahun dengan penyakit itu.

Guru sebuah sekolah menengah di Subang Jaya itu, berkata pesakit mBC seharusnya tidak cepat menyerah kalah, selain mendapatkan rawatan moden, mereka juga perlu mencari kumpulan sokongan bagi mendapatkan kekuatan mental dan emosi.

Persekitaran positif

"Persekitaran positif amat penting untuk pesakit kanser payudara ini kerana ia penting untuk membantu mengembalikan semangat dan keyakinan diri untuk berdepan dengan kanser paling kritikal ini.

"Penghidap boleh kongsi kesakitan dialami mereka, sekali gus bertukar pandangan dengan wanita lain yang berjaya melepasi stigma dan meneruskan kehidupan walaupun pelbagai halangan dilalui," katanya.

Kata Chang, pesakit kanser payudara kini bertuah kerana mempunyai persekitaran kondusif dari sudut perkhidmatan dan rawatan kanser payudara metastatik.

"Sungguhpun masih ramai wanita kurang sedar mengenai mBC, malah ada yang langsung tidak pernah mendengarnya, kanser boleh dikawal sekiranya wanita cepat menjalani rawatan perubatan," katanya.

204 dibaca
Berita Harian X