;
Jumaat, 2 Februari 2018 | 4:02pm

Wanita pertama diberi penghormatan jawatan tertinggi TLDM

KUALA LUMPUR: Kewibawaan Kepten Rohana Jupri terus terserlah apabila memecah tradisi sebagai pegawai kanan wanita pertama menjadi kepten sejak 83 tahun penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pengiktirafan luar biasa yang diterima pada 19 Oktober, tahun lalu itu tidak terhenti di situ, apabila beliau dinaikkan lagi pangkat sebagai Pegawai Memerintah Depot Bekalan Armada Barat, mulai Isnin ini.

Dengan pelantikan itu, beliau bertanggungjawab terhadap pembekalan alat ganti kapal yang disifatkan lagi besar dan mencabar.

Dengan pengalaman lebih 33 tahun dalam perkhidmatan ketenteraan, Rohana, 55, berkata pelantikan terbabit disifatkan penghargaan paling tinggi, selain bukti kesungguhan kerajaan mengiktiraf golongan wanita.

Pada masa sama, ia dianggap penghormatan terbesar dalam sejarah TLDM apabila diiktiraf wanita pertama menyandang pangkat berkenaan, iaitu menyamai pangkat Kolonel bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Rohana berkata, pengiktirafan itu menunjukkan kewibawaan pegawai wanita setanding lelaki, sekali gus diharap menjadi pemangkin semangat kepada wanita lain menggapai impian sama.

Katanya, sesiapa sahaja mampu berada pada tahap itu tanpa dibatasi jurang jantina selagi mampu mempamerkan kesungguhan dan sedia berhadapan cabaran serta rintangan dalam kerjaya.

Beliau berkata, impian menyertai TLDM berputik sejak di bangku sekolah kerana terpesona dengan seragam kemas, daya kepemimpinan dan disiplin anggota tentera.

"Dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), saya memohon mengikuti latihan kadet selama empat tahun, sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, menjadi permulaan kerjaya dengan TLDM. 

"Kini apabila dilantik sebagai Kepten, saya rasa terharu kerana selama ini, tanggungjawab itu diberikan kepada lelaki.

"Dari perspektif lain, ia memperlihatkan peringkat atasan memberikan peluang adil untuk berada dalam jawatan pengurusan kanan.


PEGAWAI Memerintah Depot Bantuan Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, Kapten Rohana Jupri, pegawai wanita pertama bergelar dilantik sebagai kapten.

"Dengan pengalaman diraih sebelum ini membantu saya melonjakkan lagi pencapaian membuktikan wanita mampu melakukan tugasan dengan dedikasi dan berwibawa," katanya kepada BH Online, di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini, baru-baru ini. 

Ketika ini Rohana bertugas di Pangkalan TLDM, Lumut Perak yang bertanggungjawab memastikan keperluan logistik, makanan, bahan bakar dan keperluan TLDM.

Ini bermakna bidang tugasnya tertumpu kepada semua kelulusan dan pengoperasian Depot, sekali gus memastikan keperluan logistik mencukupi.

Beliau berkata, pengiktirafan diberikan itu juga membuktikan TLDM memberikan peluang sama rata, menghargai keupayaan wanita menggalas profesion yang sebelum ini diberikan kepada lelaki.

"Ini memberikan anjakan paradigma kepada pegawai wanita lain terus komited membantu ke arah kecemerlangan TLDM.

"Kepercayaan menggalas tanggungjawab itu dianggap pemangkin untuk terus berdedikasi, memartabatkan wanita memikul tugas berat dan mencabar setanding keupayaan lelaki.

Rohana berkata, kenaikan pangkat dalam TLDM dinilai berdasarkan kriteria seperti kecekapan kerja, disiplin, kredibiliti, tahap kesihatan, prestasi, keyakinan dan banyak lagi aspek lain. 

"Ini membuktikan TLDM memberikan peluang kepada pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) wanita menjawat jawatan penting dalam perkhidmatan yang dahulunya hanya didominasi lelaki.

"Meskipun pangkat ini adalah amanah dan tanggungjawab besar, saya akan terus memberi khidmat terbaik demi tanah air tercinta," katanya yang terpaksa berjauhan bertugas di Perak, manakala keluarga di Shah Alam, Selangor.  

Anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor ini berkata, pelantikan pangkat itu memberi peluang saksama kepada wanita yang sebelum ini memasuki pasukan dengan syarat kemasukan latihan ketenteraan sama.

"Sebelum ini pegawai kanan wanita tertinggi hanya berpangkat komander. Tetapi pengiktirafan itu membuktikan wanita juga layak menggalas tanggungjawab berat dan jawatan penting," katanya.


KEPTEN Rohana Jupri

Profil:

Kepten Rohana Jupri

  • Tarikh Lahir: 28 Ogos 1963
  • Umur: 54 tahun
  • Asal: Tanjung Karang, Selangor
  • Jawatan: Pegawai Memerintah Depot Bantuan Barat, Pangkalan TLDM, Lumut
  • Pendidikan: Diploma Pengurusan Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM)

    Sarjana dalam pengurusan, Universiti Tun Abdul Razak  (November 2016)

Pencapaian

* Pegawai Memerintah Depot Bantuan Barat TLDM pertama wanita dalam tempoh 83 tahun

* Dilantik memegang jawatan Pegawai Memerintah Depot Bekalan Armada Barat, mulai 5 Februari ini.

* Pegawai Memerintah pertama dalam kalangan pegawai wanita dalam TLDM.

4575 dibaca
Berita Harian X