Rabu, 10 Januari 2018 | 4:36pm
MODEL memperagakan koleksi barang kemas Tomei sempena majlis Pelancaran Kempen Jubli Emas Ulangtahun Tomei ke 50 di Centre Court, Pavillion Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tomei rai pelanggan, sedia hadiah RM1j

KUALA LUMPUR: Hadiah bernilai lebih RM1 juta termasuk kereta mewah menunggu pelanggan pada kempen Gold To Drive anjuran jenama barangan kemas Tomei.

Pengarah Urusan Kumpulan Tomei, Datuk Ng Yih Pyng, berkata penghargaan itu diberikan kepada pelanggan yang selama ini menyokong jenama itu hingga bertahan ke hari ini.

Katanya, kempen itu bertujuan meraikan pelanggan setia sempena ulang tahun ke-50 jenama itu.

"Tomei tersenarai di Bursa Malaysia sejak 2006 menyaksikan peningkatan perolehan jualan daripada RM100 juta kepada RM600 juta pada tahun lalu.

"Justeru, kempen ini dijalankan untuk menghargai sokongan diberikan pelanggan kepada kami," katanya pada majlis pelancaran kempen itu, baru-baru ini.


MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama Pengarah Urusan Tomei Consolidated Berhad, Datuk Ng Yih Pyng (kanan) dan Pengasas Tomeo Group, Tan Sri Dr. Ng Teck Fong (kiri) melancarkan Kempen Jubli Emas Ulangtahun Tomei ke 50 di Centre Court, Pavillion Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Ia dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Yang turut hadir, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Tomei, Tan Sri Datuk Dr Ng Teck Fong.

Sementara itu, Hamzah berkata, kerjasama antara kerajaan dan pemain industri berupaya memberi lonjakan terhadap ekonomi negara.

"Sektor perniagaan emas menyumbang sehingga RM7 bilion tahun lalu dan dijangka lebih baik lagi pada masa depan.

"Kerjasama baik berupaya menjadikan negara maju menjelang tahun 2020," katanya.

Menerusi kempen Gold To Drive itu, mana-mana pelanggan berbelanja RM1,000 di cawangan Tomei layak menyertai cabutan bertuah.

Antara hadiah ditawarkan kepada pelanggan termasuk kereta mewah BMW X5 dan set barangan kemas Tomei bernilai RM168,000.

Sempena sambutan ulang tahun jubli emas, Tomei turut memperkenalkan logo baharu yang menyerlahkan lagi aspirasi jenama berkenaan.

Tomei bermaksud sangat cantik dalam bahasa Mandarin, dipilih pengasasnya Ng Teck, sejak penubuhannya pada 1968.

Ia memiliki lebih 60 cawangan dalam dan luar negara termasuk Vietnam dan Eropah.

1022 dibaca
Berita Harian X