Rabu, 3 Januari 2018 | 4:01pm
PENGURUS Unit HIV Teduhan Harapan, Marhalem Sulaiman dan Penolong Pengurus yang juga isterinya, Jamaliah Sulaiman di Pusat Jagaan Summer Hill Nursing Home. - Foto Luqman Hakim Zubir

'Penghidap HIV boleh hidup lama'

KUALA LUMPUR: Penghidap HIV khususnya wanita perlu didedahkan cara menguruskan virus terbabit menerusi kaedah pengurusan kesihatan.

Saintis dan penyelidik kesihatan tempatan, Prof Dr Reverend B L HO, berkata stigma negatif terhadap penghidap HIV atau kini dikenali sebagai Orang Yang Hidup dengan HIV (PLHIV), perlu disingkirkan kerana mereka mampu mempunyai kehidupan yang normal.

Katanya, menerusi pengurusan kesihatan yang didedahkan kepada PLHIV, mereka akan bergantung kepada ubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan yang akan meningkatkan imunisasi badan sekali gus mengawal virus HIV di dalam tubuh.

"Selain sokongan dan bantuan, PLHIV juga perlu tahu bagaimana untuk menguruskan penyakit mereka supaya dapat bertahan lebih lama.

"PLHIV boleh hidup lama jika virus di dalam badan mereka dikawal dengan ubat. Tindak balas ubat yang diambil akan meningkatkan daya ketahanan badan sekali gus menurunkan virus ke tahap selamat.

"Kesannya, mereka boleh mengubah hidup sendiri seperti kembali bekerja dan hidup secara berdikari," katanya selepas merasmikan rumah perlindungan Unit HIV Teduhan Harapan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Summer Hill Nursing Home Sdn Bhd, berkata pihaknya kini menyediakan lima rumah perlindungan termasuk Teduhan Harapan bagi membantu PLHIV menguruskan kesihatan mereka selain memberi sokongan serta tempat tinggal.

"Di sini seramai 30 PLHIV akan ditempatkan termasuk wanita. Mereka akan diberi tempat tinggal, keperluan asas serta menjalani program pengurusan kesihatan bagi mengawal virus HIV.

"Di samping memulihkan PLHIV, matlamat kami juga supaya mereka ini mampu diterima masyarakat kerana rata-rata hidup terbuang. Justeru kakitangan di sini akan membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Teduh Harapan, Jamilah Sulaiman, 51, yang juga PLHIV kini membantu lebih ramai wanita yang PLHIV untuk pulih menerusi pengalamannya.

Beliau berkata, ramai wanita menjadi mangsa HIV kerana tidak sedar pasangannya menghidap penyakit berkenaan termasuk dirinya.

Bagaimanapun, menerusi persatuan dan rumah perlindungan seperti ini, pihaknya sedia membantu lebih ramai wanita yang menjadi mangsa HIV.

"Saya disahkan mempunyai HIV, dua tahun selepas suami meninggal dunia. Perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan kerana saya hidup di kampung dan sungguhpun tahu suami penagih, saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai HIV sehinggalah beliau meninggal dunia.

"Pada ketika itu, saya terlalu takut untuk memberitahu keluarga dan apa yang lebih membimbangkan keluarga mahu saya meneruskan hidup dan berkahwin lagi.

"Selepas berkahwin baru, saya kemudian memaklumkan kepadanya kerana khuatir beliau dijangkiti dan juga anak yang dikandungkan positif HIV.

"Pada awalnya, suami menerima keadaan saya, namun malangnya bayi yang dilahirkan itu HIV positif," katanya.

Jamilah menerima sokongan dari pelbagai pihak untuk meneruskan perjuangan hidup dan membesarkan anaknya itu yang kini berusia 10 tahun.

Beliau juga sebelum ini menguruskan rumah perlindungan Teduhan Harapan di Klang yang menempatkan lebih 13 PLHIV.

Seorang penghidap Hepatitis C yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, 47, juga adalah penghuni rumah perlindungan Teduhan Harapan.

Farah yang berasal dari Sabah, dahulunya juga penagih dadah dan dibuang keluarganya.

"Saya kini sudah bebas dadah selama empat tahun. Di rumah Teduhan Harapan saya dipulihkan dan kini saya membantu kakitangan di sini menguruskan tempat ini bagi mereka yang mempunyai nasib seperti saya dulu.

"Tidak dinafikan orang seperti kami teramat memerlukan sokongan dan bimbingan dari masyarakat. Kami hanyut dengan dadah dan tidak sedarkan diri, kini apabila sudah berada di jalan yang benar saya mahu berkhidmat untuk orang lain," katanya.

1512 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »