Ahad, 11 Februari 2018 | 6:36pm

Nikah berdiri ikut adat

KOTA BELUD: Bukan duduk, tetapi berdiri. Itu kelainan majlis akad nikah pasangan pengantin dari sini, yang disatukan di Kampung Lebak Engad, dekat sini, semalam.

Dalam majlis perkahwinan itu, akad nikah dibuat secara berdiri hingga menarik perhatian tetamu, tidak seperti kebiasaan di mana pengantin duduk bersila.

Malah, dalam majlis itu orang ramai turut berdiri ketika pengantin dinikahkan oleh jurunikah.

Difahamkan, adat itu dilakukan berikutan pengantin lelaki daripada etnik Bajau Sama keturunan 'Datu' iaitu Datu Jamalin bin Datu Juan bin Datu Takupan bin Datu Rambangan bin Datu Baskal.

Mereka berasal dari Kampung Jawi-Jawi, dekat sini.

Abdul Masdeh Alibin, 24, dan isterinya, Che Nilawati Akup, 22, disatukan dengan mas kahwin RM300 serta hantaran RM10,400.

Abdul Masdeh berkata, bernikah secara berdiri antara adat yang digunakan dalam keturunan Bajau Sama berketurunan 'Datu'.

"Sejak awal lagi, keluarga kedua-dua pihak merancang mengadakan majlis mengikut adat." katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Masdeh berkata, dia agak berdebar disebabkan itu perlu melafazkan akad dua kali.

Katanya, dia dan isteri berkenalan kira-kira lima tahun lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada tahun lalu.

Terdahulu, dalam majlis itu antara adat lain yang turut dibuat ialah menggunakan 'Usungan' yang mana pengantin lelaki diarak menggunakan tandu yang dihias menggunakan kain 'sempangan' bercorak khas bagi kaum Bajau.

2269 dibaca
MAJLIS nikah Abdul Masdeh Alibin di Kampung Lebak Engad, yang dinikahkan secara berdiri mengikut adat masyarakat Bajau Sama berketurunan 'Datu', di Kota Belud. - Foto ihsan pembaca
ABDUL Masdeh Alibin dan isterinya, Che Nilawati Akup disatukan dengan mas kahwin RM300 serta hantaran RM10,400. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X