Rabu, 24 Januari 2018 | 6:40am
KETUA Operasi Agihan Zakat Daerah Sepang, Mohd Nur Fadli Yohman semasa menerima borang permohonan bantuan zakat daripada Zania Nudi (kanan) di Taman Warisan Permai, Kota Warisan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

Miskin tak halang bantu wanita asnaf teraniaya

KUALA LUMPUR:  Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itulah diibaratkan kehidupan ibu tunggal, Zania Nudi, namun tidak menghalang beliau berbuat amal membantu asnaf lain, termasuk wanita teraniaya sejak dua dekad lalu.​

Zania, 57, yang masih dikategorikan dalam golongan asnaf, tidak menyangka rumah sewanya di Kota Warisan, Sepang sudah menerima lebih 50 wanita yang datang silih berganti untuk mendapatkan perlindungan.

Ibu seorang anak berusia 19 tahun ini, berkata kediamannya tidak pernah 'sunyi' menerima tetamu yang tidak dikenali, tanpa pertalian darah tetapi diterima menjadi sebahagian ahli keluarganya.

Katanya, ada yang datang selepas diperkenalkan oleh saudara mara atau sahabat Zania kerana mengenali diri beliau tidak pernah menolak sesiapa yang datang dalam keadaan terdesak untuk membantu.

"Saya masih disenaraikan dalam golongan asnaf dengan sumber pendapatan tidak tetap sebagai tutor persendirian, ada masanya pendapatan boleh mencecah RM1,000. Ada kalanya tiada pendapatan jika mengajar.

"Tetapi dengan duit itu saya kongsi untuk membeli pelbagai keperluan dan lain untuk sesiapa saja yang datang ke rumah saya.

"Yang datang ke rumah saya daripada latar belakang berbeza seperti mualaf, anak yatim piatu, wanita didera suami, mangsa rogol yang hamil, kanak-kanak mangsa pengabaian, warga emas yang dibuang ahli keluarga dan lain-lain," katanya kepada BH.

Beliau berkata, dianggap seperti kaunselor dengan memberi nasihat dan sokongan moral dari segi mental dan fizikal mengikut kes tertentu dihadapi mereka.

Katanya, ada wanita itu keadaan trauma, sukar tidur malam, sentiasa menangis dan murung, selain sesetengah warga emas yang datang dalam keadaan daif.

"Niat saya untuk membantu asnaf dan yakin ada hikmah tersendiri menyebabkan kehidupan saya sentiasa dipermudahkan walaupun kesempitan dari segi kewangan tetapi dilimpahi kesihatan yang baik.

"Kadang-kadang saya menerima  bantuan makanan dan keperluan asas daripada jiran tetangga serta pihak masjid di kawasan berhampiran," katanya.

Sebagai tanda bersyukur, beliau memberi tuisyen percuma kepada anak-anak asnaf dan yatim piatu.

"Saya berlapang dada jika ada pelajar yang tidak mampu membayar untuk tuisyen sebagaimana dijanjikan. Saya yakin di penghujung hayat kita dinilai Tuhan atas segala pengorbanan seperti membantu orang lain," katanya.

Beliau berkata, ada kalangan remaja hamil mangsa rogol atau yang terlanjur datang menumpang di rumahnya untuk mendapatkan perlindungan sehinggalah selamat melahirkan bayi.

"Ada wanita mempunyai masalah rumah tangga seperti sedang menunggu kes tuntutan cerai selesai. Selain itu, ada yang berhadapan kes keganasan rumah tangga bagi mengelak terus menjadi mangsa penderaan suami, tinggal di sini. Mereka akan tinggalkan rumah ini selepas mendapat pekerjaan.

"Sepanjang mereka berada di rumah ini, saya membahagikan tugas secara adil seperti ada yang memasak, ada yang mengemas rumah atau ada yang membasuh pakaian supaya mereka rasa seperti sebagai sebuah keluarga.

Oktober tahun lalu, Zania juga pernah menjaga tiga kanak-kanak asnaf berusia lima hingga 12 tahun, dari Kunak, Sabah yang menjadi mangsa penderaan dan pengabaian, sebelum ibu bapa mereka bercerai.

"Ibu kandung ketiga-tiga kanak-kanak meninggalkan mereka di rumah saya. Ibunya bekerja sebagai pembantu kedai dan menyewa bilik kecil kerana rasa tidak selesa membesarkan anak di kawasan persekitaran kurang selesa, selain sedang menunggu proses perceraian.

"Sebelum ini, anak-anak itu menjual sayur untuk membantu ibu bapa bagi menampung kehidupan, selain tidak bersekolah. Apabila mereka tinggal di sini, saya mengajar anak itu dengan pendidikan asas seperti membaca dan mengira.

"Anak-anak ini kini belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Kota Warisan, sejak sesi persekolahan awal bulan ini, selepas mendapat bantuan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk membeli pelbagai kelengkapan sekolah dan perbelanjaan lain.

"Kini, kita sedang menunggu Lembaga Zakat Selangor memberi bantuan untuk perbelanjaan persekolahan untuk seterusnya. Saya berterima kasih kepada pihak zakat dan PPIM yang prihatin membantu mereka," katanya.

Beliau tidak mengharapkan sebarang balasan daripada semua mereka yang pernah berlindung di kediamannya.

"Malah, saya tidak berkecil hati apabila ada segelintir wanita yang pernah berlindung di kediaman membawa diri tanpa khabar berita selepas masalah mereka berjaya diselesaikan," katanya.

389 dibaca
Berita Harian X