Selasa, 23 Januari 2018 | 8:53pm
NORAIDAH Md Nor menunjukkan gambar Nureen Damia mengalami komplikasi. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
NUREEN Damia Musa mengalami komplikasi selepas menjalani rawatan. - Foto Ihsan Keluarga

Tiga beradik derita talasemia major

MANJUNG: Ketika gembira melihat anak bongsu yang semakin pulih daripada penyakit Beta-talasemia major, pasangan suami isteri ini diuji apabila seorang lagi anak, Nureen Damia Musa mengalami komplikasi selepas menjalani rawatan penyakit sama.

Talasemia major adalah penyakit kelainan darah akibat faktor genetik, iaitu sel darah merah (hemoglobin) tidak berfungsi dengan normal dan memerlukan pemindahan darah setiap tiga atau empat minggu bagi memastikan sel darah itu di tahap yang selamat.

Guru, Noraidah Md Nor, 40, berkata tiga anaknya, iaitu pasangan kembar Nureen Damia dan Nureen Dania, 11, mula dikesan mempunyai penyakit itu sejak berusia lapan bulan manakala seorang lagi, anak bongsunya, Muhammad Rayyan Isaac (Rayyan), 4, pada usia setahun.

Katanya, Muhammad Rayyan Isaac sudah menjalani rawatan transplan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Subang Jaya, pada 20 Oktober 2016 hingga 6 Januari tahun lalu.

Sebelum itu, beliau dan suaminya, Musa Othman, 44, cuba mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, namun ia tidak dapat dilaksanakan berikutan sum-sum tulang kesemua anak mereka tidak bersesuaian dan terpaksa mencari alternatif lain.

"Yang sesuai adalah Rayyan tetapi dia juga sakit dan tidak boleh digunakan dan kami mencuba rawatan penderma transplan yang tiada hubungan kekeluargaan di SJMC.

"Dengan wang simpanan dan sumbangan daripada pengurusan tertinggi tempat kerja, keluarga, rakan serta agensi berjaya mengumpul RM532,000.

"Rayyan selamat menjalani rawatan transplan yang menelan belanja RM330,000 dan alhamdulillah, keadaannya memberangsangkan dan pulih tanpa perlu menjalani pemindahan darah sejak setahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Hati, Seri Manjung, di sini hari ini.

Noraidah yang mempunyai enam anak berkata, beliau mahu melihat anaknya sembuh dan dengan baki RM200,000 yang diusahakan sebelum ini dapat meneruskan rawatan Nureen Damia dan Nureen Dania.

Bagaimanapun baki dana itu tidak mencukupi kerana memerlukan tambahan RM500,000 lagi bagi mencukupkan kos keseluruhan rawatan berjumlah RM700,000.

"Kami sepakat membuat pinjaman peribadi bagi membolehkan rawatan untuk Nureen Damia dilaksanakan dahulu kerana penderma stem cell yang bersesuaian sudah ditemui di Taiwan dengan kos pembelian RM80,000.

"Rawatan untuk Nureen Damia dan Nureen Dania tidak dilakukan serentak berikutan kekangan kos dan agak berisiko tinggi. Kini Nureen Dania masih menjalani pemindahan darah setiap bulan di Hospital Seri Manjung dan bergantung dengan ubat setiap hari.

"Nureen Damia memulakan rawatan pada 28 November lalu, namun selepas hampir sebulan menjalani rawatan. Dia dipindahkan ke wad biasa dan mengalami komplikasi hati yang membengkak, buah pinggang serta paru-paru berair," katanya yang sudah membayar deposit sebanyak RM200,000 untuk rawatan itu.

Noraidah berkata, sehingga kini Nureen Damia yang paru-parunya masih berair berada dalam keadaan sedar di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun memerlukan bantuan pernafasan.

"Jika mengikut rekod pembayaran rawatan Rayyan sebelum ini kami jangka ia mencukupi dengan masih mempunyai baki di tangan RM100,000, namun kami diuji dengan keadaan Nureen Damia ketika ini.

"Kami bimbang kerana kos rawatan semakin meningkat dan sehingga kini sudah mencecah RM372,185.

"Suami ada beritahu dia mahu membayar RM100,000 baki yang masih ada pada kami, namun biarpun sudah ditolak bayaran itu dan deposit, ia masih tidak mencukupi," katanya.

Noraidah berkata, mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang untuk memastikan anak-anak mereka hidup sempurna, namun kini buntu memikirkan kos rawatan yang terus meningkat.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Musa di talian 016-5216134.

2112 dibaca
Berita Harian X