Ahad, 21 Januari 2018 | 3:26pm
PENAUNG Pusat Seni Jahitan Kreatif (PSJK), Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melawat gerai jualan pada Majlis Penutupan program Minggu Keusahawanan Jahitan di Sewing World Gallery, di Subang Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
PENAUNG Pusat Seni Jahitan Kreatif (PSJK), Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melihat hasil jahitan kreatif pada Majlis Penutupan program Minggu Keusahawanan Jahitan di Sewing World Gallery, di Subang Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Jahitan kreatif tingkatkan potensi usahawan wanita

SUBANG JAYA: Kemahiran seni jahitan kreatif mampu mendekatkan wanita dengan bidang keusahawanan, sekali gus membantu mengubah struktur ekonomi termasuk golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya.

Penghasilan pelbagai produk inovasi jahitan yang unik dan berkualiti berpotensi bukan saja untuk pasaran tempatan tetapi diyakini mampu dikomersilkan ke pasaran antarabangsa.

Penaung Pusat Seni Jahitan Kreatif (PSJK), Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bertitah kegigihan, ketekunan dan keberanian golongan wanita menceburi keusahawanan jahitan kreatif perlu diiktiraf supaya mampu menjadi ikutan dalam membangunkan ekonomi masyarakat.

"Program kemahiran seni jahitan kreatif seperti ini perlu dipergiatkan lagi demi memberi peluang kepada masyarakat mendekatkan diri dalam dunia keusahawanan.

"Pada hari ini, keusahawanan amat penting memandangkan ia adalah pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi selain mampu mengubah struktur masyarakat," titahnya ketika merasmikan Majlis Penutupan program Minggu Keusahawanan Jahitan di Sewing World Gallery, di sini, hari ini.

Program selama empat hari bermula Khamis lalu adalah anjuran bersama Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dan Yayasan Inovatif Mostwell serta Pusat Latihan Kraftangan Epal.

Program pertama kali dianjurkan itu adalah bertujuan membantu usahawan seni jahitan memperkenalkan khidmat dan memasarkan produk mereka selain memberi suntikan semangat kepada yang lain menceburi bidang kemahiran seni jahitan kreatif dan keusahawanan.

Sementara itu, Pengerusi PSJK, Fully Chye Goet Lee, berkata bagi memastikan objektif penganjurannya, Minggu Keusahawanan Jahitan berkenaan akan turut diadakan di setiap negeri di seluruh negara.

"Ini untuk membolehkan lebih ramai usahawan menjana pendapatan dan memperkenalkan produk mereka kepada kumpulan sasaran dengan tidak hanya tertumpu di sekitar Lembah Klang saja.

"Selain mahu dimanfaatkan seluruh golongan masyarakat ia juga bertujuan membantu mereka yang masih tercari-cari peluang bagi menjana pendapatan sendiri dan keluarga," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan sepanjang program berlangsung, antaranya 'handmade market' terbesar di Malaysia yang menghimpunkan lebih 100 usahawan jahitan kreatif dari seluruh negara membabitkan golongan suri rumah, ibu tunggal, pesara, golongan OKU, masyarakat Orang Asli dan kumpulan B40.

Selain membuka gerai jualan ia juga bagi membolehkan usahawan terbabit bertemu dengan prospek pembeli dalam menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan jahitan yang unik dan kreatif sebagai hadiah korporat.

Pada majlis itu juga, tiga usahawan jahitan seni kreatif terpilih memenangi Anugerah Tokoh Cemerlang 3K yang dinilai berdasarkan usaha gigih, semangat juang dan kesungguhan mereka meningkatkan bukan saja kehidupan sendiri tetapi juga keluarga secara keseluruhannya.

Pemenang dipilih dalam tiga kategori iaitu OKU yang dimenangi Salmah Abdullah, 63; kategori junior dimenangi oleh Gaira Muharam, 26 dan kagetori senior, Rahimah Mahmud, 38.

658 dibaca
Berita Harian X