Sabtu, 20 Januari 2018 | 3:36pm
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyampaikan hadiah kepada seorang peserta cilik yang menang dalam acara sukaneka yang diadakan pada Program Hari Keluarga dan Program WOW sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) 2018, di Kampung Hulu Nyalau, Bintulu. - Foto Erika George

28,470 wanita jalani saringan kesihatan

BINTULU: Seramai 28,470 wanita di seluruh negara sudah mendapat manfaat daripada Perkhidmatan Kesihatan Reproduktif disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), sepanjang tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata daripada jumlah itu, 6,591 menerima perkhidmatan ulangan manakala 21, 879 lagi adalah penerima baharu.

"Ujian pengesanan awal kanser pangkal rahim akan diberikan secara percuma sehingga 15 Februari ini nanti bagi memberikan peluang kepada wanita di negara ini mendapatkan perkhidmatan percuma," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Hari Keluarga dan Program Wellbeing Of Women (WOW) sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) 2018 di Kampung Hulu Nyalau, di sini, hari ini.

Turut hadir pada program anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Bintulu itu ialah Pegawai Daerah Bintulu, Mataip Sayu dan Pengerusi MPWK Parlimen Bintulu, Dora Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Rohani turut mengumumkan peruntukkan berjumlah RM30,000 kepada MPWK Bintulu sebagai bantuan untuk penganjuran aktiviti khususnya dalam program penjagaan kesihatan wanita.

Rohani berkata, kempen WOW dilaksanakan LPPKN khusus bagi menggalakkan wanita menjalani ujian pap smear di Klinik Nur Sejahtera dan Klinik Subfertiliti LPPKN di seluruh negara.

"Kempen WOW diharap dimanfaatkan oleh semua wanita di negara ini bagi menjalani pemeriksaan pap smear dan ujian saringan kanser serviks bagi mencegah penyakit yang menjadi pembunuh nombor satu wanita di negara ini," katanya.

322 dibaca
Berita Harian X