Khamis, 14 Disember 2017 | 3:07pm
PESAKIT Talasemia, Noorhafiza Noorhamdan. - Foto Aziah Azmee

'Kenapa saya kena pergi hospital setiap bulan...'

KUALA LUMPUR: Ketika ada bayi yang dibuang di tepi jalan atau dijual umpama barang yang tidak bernilai, hati Noorhafiza Noorhamdan hanya mampu menangis.

Dilahirkan dengan talasemia, Noorhafiza, 40, tetap menginginkan zuriat sendiri namun, rezekinya belum menyebelahinya lagi.

Bagi Noorhafiza, semuanya itu adalah dugaan yang perlu dihadapi dan tetap menerima apa sahaja takdir yang ditentukan.

"Pesakit talasemia sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran sejak kecil, memasuki usia remaja, alam pekerjaan dan perkahwinan. Saya bersyukur kerana keluarga mentua baik dan boleh menerima hakikat saya penghidap talasemia.

"Berbanding rakan lain yang terpaksa berahsia dengan penyakit mereka kepada keluarga mentua dan majikan kerana tidak berani menerima kesannya," katanya yang ditemui pada Forum Bicara BH, "Pesakit Talasemia, Masihkan Ada Harapan?", baru-baru ini.

Noorhafiza yang juga Presiden Persatuan Talasemia Kedah dan Timbalan Setiausaha Persatuan Talasemia Malaysia, berkata beliau disahkan mengalami penyakit genetik itu ketika berusia satu tahun lapan bulan.

Ketika itu beliau yang kelihatan putih luar biasa pada mulanya disangka normal sebenarnya mengalami kepucatan akibat anemia.

Ibu bapa beliau mulai risau apabila anak mereka itu mengalami pertumbuhannya yang perlahan, lambat berjalan dan kerap menangis.

Ujian darah mengesahkan Noorhafiza menghidap talasemia dan sejak detik itu, dia tidak pernah gagal mengambil darah setiap bulan.

"Cabaran ketika zaman kanak-kanak dengan tubuh bersaiz kecil, tidak dapat melakukan semua aktiviti sehinggakan sesi lawatan sekolah pun tidak boleh disertai dengan alasan sakit.

"Saya membesar dengan perasaan bercampur-baur. Apabila memasuki usia remaja, mula tertanya-tanya, kenapa saya, kenapa kena pergi hospital setiap bulan, kenapa bukan orang lain?" katanya.

Ketabahan ibu mendidik beliau sangat dihormati kerana setiap persoalan, pasti ada saja jawapan daripada wanita yang melahirkannya itu.

Kata Noorhafiza, ibunya seorang yang tegas dalam memastikan dia makan ubat dengan meletakkan meja dengan ubat sebelum boleh melangkah ke meja makan.

Di alam pekerjaan, Noorhafiza sebagai penghidap talasemia perlu bekerja lebih keras berbanding rakan lain bagi memastikan semua tugas disiapkan kerana ada masanya mereka akan terasa lemah dan mengalami gangguan emosi.

"Sebagai manusia, ada masa emosi terganggu dengan persoalan yang ditimbulkan oleh orang di sekeliling seperti betulkah sakit kerana kerap cuti sakit dan terasa bosan untuk bercerita perkara sama kepada setiap doktor yang ditemui.

"Ada juga yang tanpa belas bertanya berapa lama saya boleh hidup sedangkan doktor sendiri tidak pernah menyentuh soal itu," katanya.

Katanya, pesakit talasemia perlu berjihad dahulu dengan memaklumkan kepada adik-beradik serta keluarga untuk menjalani ujian saringan talasemia.

"Ini kerana setitik darah adalah penentu masa depan keturunan pesakit," katanya.

6422 dibaca
Berita Harian X