Jumaat, 11 Ogos 2017 | 10:53am

Tangani isu alam sekitar berteras integriti

KEPENTINGAN melindungi alam sekitar adalah suatu perkara yang sentiasa dipandang serius dan sering menjadi fokus utama pentadbiran, sama ada pada peringkat nasional, serantau mahupun global.

Bagi negara membangun seperti Malaysia, adalah menjadi matlamat supaya penjagaan alam sekitar dilakukan secara lestari dan berkesan, tetapi objektif ke arah pembangunan mapan juga amat bergantung kepada pembabitan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman.

Sebenarnya badan kehakiman adalah suatu institusi yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan dan kemakmuran alam sekitar.

Oleh yang demikian, dalam hal seperti ini, ada banyak peranan yang dapat dimainkan oleh institusi keadilan ini.

Antaranya ialah meneguhkan lagi undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar, meningkatkan penafsiran undang-undang berkenaan, menjaga kepentingan awam melalui persekitaran yang sihat dan terjamin, serta menerap nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat agar mereka menghormati alam sekeliling dan lebih bertanggungjawab kepada persekitaran.

Selain itu, cara lain bagi badan kehakiman merealisasikan masa depan yang benar-benar mapan ialah dengan mengukuhkan badan eksekutif dalam menguatkua- sakan peraturan alam sekitar dan mempromosikan pematuhan undang-undang itu di semua peringkat.

Pembangunan mapan asas penghakiman

Sebagai suatu badan yang berperanan untuk memastikan wujudnya keadilan dan keseimbangan antara pertimbangan alam sekitar, sosial dan ekonomi, apakah panduan yang dapat digunakan oleh mahkamah apabila mengadili sesuatu kes berkaitan alam sekitar?

Dalam keadaan seperti ini, beberapa elemen asas pembangunan mapan seperti prinsip pencegahan, kesaksamaan, pemuliharaan kepelbagaian biologi dan integriti ekologi, serta konsep 'pencemar membayar' dapat diguna pakai sebagai panduan agar penghakiman yang adil dapat dicapai.

Di beberapa negara lain seperti Australia dan India, prinsip pembangunan mapan sebegini sering dirujuk sebagai asas penghakiman bagi mengadili kes alam sekitar agar memperoleh keputusan saksama.

Di Malaysia, penubuhan Mahkamah Alam Sekitar sejak 2012 sangat disambut baik oleh semua pihak dan perkara ini menjadi satu tanda aras baharu terhadap komitmen negara terhadap isu alam sekitar.

Apa yang istimewa mengenai mahkamah khas ini ialah bidang kuasanya yang luas termasuk aspek berkaitan pencemaran air, udara dan tanah, pemuliharaan hidupan liar dan spesies terancam dan perlindungan sumber asli, serta merangkumi kes jenayah dan sivil.

Sekat projek tidak ditaksir

Kewujudan mahkamah ini yang ada di seluruh negara tentu memberi lonjakan baharu kepada perkembangan undang-undang alam sekitar dan memberi impak besar terhadap tahap perlindungan alam sekitar secara keseluruhannya.

Sebagai suatu badan yang mendukung keadilan, mahkamah khas ini mempunyai pelbagai kuasa untuk mengadili kes yang berkenaan.

Sebagai contoh, pihak mahkamah boleh menyekat projek yang tidak ditaksir menurut peruntukan undang-undang yang berkemungkinan memberi impak negatif kepada alam sekitar daripada diteruskan sehinggal segala syarat yang dikenakan itu dipatuhi.

Mahkamah juga boleh mengenakan hukuman setimpal seperti denda maksimum atau penjara bagi kes serius seperti perdagangan haiwan yang dilindungi, pembalakan haram atau pembuangan minyak ke laut secara sengaja agar ia dapat menjadi suatu bentuk pencegahan dan teladan kepada masyarakat.

Mahkamah juga berkuasa untuk memerintahkan agar pihak yang melakukan pencemaran membayar segala kos sekiranya kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan bagi menghapuskan pencemaran yang dilakukan pencemar.

Bukan itu sahaja, dari sudut perundangan, apabila seseorang hakim mentafsirkan undang-undang alam sekitar secara kreatif dan padat, ia dapat membantu melindungi hak-hak persekitaran, manakala keputusan yang dibuat hakim itu pula dapat dirujuk sebagai satu bentuk undang-undang umum bagi kes alam sekitar yang berikutnya.

Mungkin aspek kehakiman yang paling utama ialah keupayaan hakim dalam mempengaruhi persepsi dan wacana orang awam mengenai persoalan alam sekitar dan kebimbangan sosial mengenainya.

Mahkamah mempunyai kesan transformatif yang kuat pada masyarakat dan peranan ini boleh di ambil oleh Mahkamah Alam Sekitar bagi memimpin dan mendidik orang ramai agar menghargai alam sekeliling.

Bagi masyarakat pula, adalah menjadi harapan agar badan kehakiman dapat membendung kerakusan yang dilakukan terhadap persekitaran yang menjejaskan kesejahteraan hidup dan kesihatan.

Harapan tinggi yang diletakkan ke atas institusi ini timbul daripada kepercayaan dan keyakinan jitu orang ramai terhadap integriti, kebebasan dan kesaksamaan proses kehakiman.

Dalam hal yang demikian, badan kehakiman yang dianggotai hakim bertauliah lagi berpengalaman semestinya akan dapat menilai kepentingan alam sekitar dan kekayaan sumber semulajadi daripada pelbagai sudut dan berpandukan kepada prinsip pembangunan mapan.

Impak positif daripada penghakiman itu nanti bukan sahaja dapat dirasakan oleh seseorang individu atau sekelompok masyarakat, malah juga oleh negara.

448 dibaca
Berita Harian X