Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:35pm
AKSI Roger Federer ketika menentang Roberto Bautista Agut pada Shangai Masters, hari ini. - Foto AFP

Bautista Agut dakwa Federer menang kerana kontroversi

SHANGHAI: Juara bertahan, Roger Federer mara ke suku akhir Shanghai Masters 2018 selepas melakar kemenangan tiga set yang dianggap kontroversi, mengatasi Roberto Bautista Agut, hari ini.

Pemain Sepanyol itu berjaya mengikat kedudukan dengan Federer di set kedua, apabila menang 6-2, sebelum jaguh Switzerland berkenaan bangkit di set ketiga untuk memenangi perlawanan mengatasi lawan yang menduduki ranking ke-28 dunia.

Ketika beraksi di set ketiga, Bautista Agut dipanggil oleh penjaga garisan ketika kedudukan terikat 4-4, dengan mengatakan mata itu tidak dikira dan meminta untuk bermula semula.

Federer kemudiannya mematahkan servis Bautista Agut untuk menang 6-4, dan ia mencetuskan kemarahan lawannya itu.

Dia menuduh pengadil berat sebelah dan memihak kepada juara grand slam 20 kali itu ketika di kedudukan 'kritikal', menyebabkan hasratnya ke suku akhir tidak tercapai selepas tewas di pusingan kedua di dua pertandingan sebelum ini. 

“Ia bukan kali pertama sikap pilih kasih ini berlaku,” katanya selepas perlawanan.

“Saya tidak fikir saya tewas kerana bola, tetapi saya tewas kerana pengadil yang tidak berlaku adil.

“Saya kecewa dengan keputusan itu kerana saya fikir saya layak untuk menang. Ia adalah kali pertama saya berdepan Federer dalam situasi ini, ia adalah hari yang baik untuk menewaskannya namun akhirnya tidak boleh menang.” AGENSI

 

332 dibaca
Berita Harian X