;
Ahad, 11 Februari 2018 | 11:07am
VENUS WILLIAMS

Venus bantu AS saingan Piala FED

ASHEVILLE, Amerika Syarikat: Venus Williams membantu juara bertahan, Amerika Syarikat (AS) melakar kemenangan dalam aksi pusingan pertama Piala FED menentang Belanda sebelum CoCo Vandeweghe mengukuhkan kedudukan kepada 2-0, malam tadi.

 

  Dibantu dengan sokongan adiknya, Serena Williams yang akan kembali beraksi selepas setahun berehat susulan kelahiran anak pertama, juara Grand Slam tujuh kali, Venus tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 6-1, 6-4 ke atas lawannya yang menghuni ranking ke-124 dunia, Arantxa Rus.

 

Pemain berusia 37 tahun itu yang menikmati musim gemilang pada tahun 2017 apabila dua kali mara ke final Grand Slam kelihatan penat pada penghujung perlawanan set kedua namun berjaya mengatasinya dengan kemahiran yang dimilikinya.

 

Ia adalah perlawanan ke-1,000 dalam kerjayanya dan ke-22 dalam acara perseorangan pada kejohanan yang kali pertama disertainya pada 1999 tetapi Venus menegaskan dia tidak memikirkan mengenai pencapaiannya itu.

 

"Saya tidak terlalu fikir mengenai pencapaian ini. Ia adalah sesuatu yang hebat apabila dapat bermain dalam permainan yang saya sayangi.

 

"Saya tidak fikir sangat mengenai rekod tetapi ia berlaku," kata Venus.

 

Sementara itu, Arantxa mengakui gementar berdepan dengan Venus yang menyaksikan dia banyak melakukan kesilapan mudah dan memberi mata kepada lawannya itu.

 

"Saya tidak bermula dengan baik. Saya berasa sedikit gementar kerana kamu bermain menentang pemain hebat seperti Venus," kata pemain berusia 27 tahun itu.

 

Dalam aksi perseorangan kedua, Vandeweghe kembali bangkit daripada kekalahan set pertama apabila memenangi aksi set kedua dan penentuan ke atas Richel Hogenkamp 4-6, 7-6 (8/6), 6-3. - AFP

130 dibaca
Berita Harian X