;
Sabtu, 10 Februari 2018 | 11:33pm
PEMAIN badminton negara, Soong Joo Ven tewas kepada pemain China, Qiao Bin pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti. - Foto Amran Hamid

Terkandas di separuh akhir

ALOR SETAR: Impian skuad lelaki negara untuk meneruskan kecemerlangan mara ke perlawanan akhir Kejohanan Berpasukan Asia tidak kesampaian apabila tumpas 1-3 kepada China di separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, hari ini.

Bagaimanapun, kegagalan itu tidak memberi sebarang kesan kerana Malaysia sudah menempah slot ke Piala Thomas di Bangkok Mei depan apabila berjaya muncul empat pasukan terbaik Asia.

Menurut pemain beregu lelaki negara, Ong Yew Sin kekalahan kali ini adalah disebabkan dua perkara iaitu tekanan dan keupayaan daripada segi fizikal selepas membawa Malaysia mara sehingga ke separuh akhir.

"Kami tidak berjaya menyumbangkan mata penting untuk negara, saya minta maaf kepada rakyat Malaysia dan gagal memberikan permainan yang baik," katanya selepas perlawanan tamat. 

Yew Sin yang berasal dari Melaka juga mengakui aksinya di kejohanan ini agak kurang konsisten kerana ada masa beraksi dengan baik dan sebaliknya. 

"Hari ini dan pada perlawanan pertama (kalah 2-3 kepada Thailand) aksi kami kurang memberangsangkan. Bagaimanapun, selepas ini kita akan berlatih dengan lebih keras sebab sudah tahu kelemahan yang dapat dilihat di kejohanan ini," katanya.

Dalam aksi hari ini, Lee Zii Jia gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tumpas straight set kepada Shi Yuqi 18-21, 9-21.

Bagaimanapun, pasangan beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong kembali mengikat kedudukan 1-1 apabila mereka tidak berdepan masalah untuk menumpaskan He Jiting-Tan Qiang 21-18, 21-12. 

Kecemerlangan V Shem-Wee Kiong tidak berjaya diteruskan perseorangan kedua, Soong Joo Ven apabila kalah 17-21, 8-21 kepada Qiao Bin.

Hasrat untuk melihat beregu kedua, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi bangkit juga tidak kesampaian apabila mereka kalah kepada Han Chengkai-Zhou Haodong 15-21, 13-21. 

Menanti China di perlawanan akhir ialah Indonesia yang menumpaskan Korea Selatan 3-2.

 

3292 dibaca
Berita Harian X