;
Sabtu, 10 Februari 2018 | 8:36pm
AIFA Azman memenangi perlawanan Squash Malaysian Tour 4th Leg Final dengan menewaskan Wen Li Lai 11-5, 11-7, 11-3 di Royal Lake Club, Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

Aifa raih gelaran kedua

KUALA LUMPUR: Aifa Azman meraih gelaran profesional keduanya dalam tempoh kurang dua bulan selepas menundukkan Lai Wen Li pada pusingan keempat Jelajah Malaysia di Royal Lake Club, hari ini.

Selepas mengungguli gelaran pusingan kedua bulan lalu untuk gelaran Jelajah PSA sulungnya, Aifa yang juga pilihan keenam memenangi pertembungan antara dua pemain remaja negara 11-5, 11-7, 11-3.

Pemain nombor 87 dunia itu memenangi semua empat perlawanannya pada pusingan itu dalam tiga set dan menyifatkan pusingan itu lebih mudah berbanding pusingan kedua.

"Saya tidak begitu tertekan kali ini kerana pada pusingan kedua yang lalu, saya menewaskan rakan sepasukan, Andrea Lee," kata pemain berusia 16 tahun itu yang bergandingan bersama Andrea dan Wen Li untuk memenangi pingat emas Sukan SEA tahun lalu.

"Saya sepatutnya bertemu dengan pilihan utama, Ho Tze Lok pada separuh akhir namun dia tewas pada suku akhir sekali gus menjadikan laluan lebih mudah."

Pemain remaja negara mendominasi semua acara wanita apabila menempah semua slot separuh akhir yang menyaksikan Chan Yiwen dan Ma Si Yi masing-masing tewas di tangan Aifa dan Wen Li.

Yiwe menumbangkan Tze Lok pada suku akhir sementara seorang lagi pemain remaja negara, M Kiroshanna menundukkan pilihan kedua dari Pakistan, Sadia Gul pada pusingan pertama.

Aifa kini menyasarkan untuk merangkul gelaran ketiganya pada pusingan kelima dari 28 Februari hingga 2 Mac depan di Pulau Pinang dengan dia tampil selaku pilihan kelapan.

"Dua gelaran sudah menjadi milik saya tahun ini jadi saya mahukan lebih banyak gelaran pada masa akan datang," kata juara Terbuka Remaja British tiga kali itu.

399 dibaca
Berita Harian X