Sabtu, 10 Februari 2018 | 1:04pm
MASIH banyak yang perlu dipelajari Jing Yi (kiri). -Foto AMRAN HAMID

Jangan terlalu hormat lawan - Pei Tty

ALOR SETAR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Wong Pei Tty mengakui tidak ada yang mustahil untuk anak buahnya menyerlah pada Piala Uber Mei depan dengan syarat jangan terlalu menghormati pihak lawan.

Menurutnya, memang skuad wanita negara masih jauh berbanding pasukan hebat seperti Jepun dan Korea Selatan namun baginya tidak ada perkara mustahil untuk mencapai tahap setanding pasukan berkenaan.

"Jika kita mempunyai semangat dan keyakinan apa saja boleh berlaku. Bermula dari situlah keajaiban akan tercipta, jika terlampau menghormati pihak lawan memang kita tidak mampu mencapainya," katanya.

Pei Tty berharap dapat membariskan skuad utama di Bangkok nanti selepas berdepan masalah kecederaan pemain sebelum dan ketika Kejohanan Berpasukan Asia berlangsung.

"Saya beritahu pemain senarai nama untuk beraksi di Piala Uber Mei depan masih lagi terbuka. Siapa yang berjaya memberikan aksi terbaik berhak berada dalam pasukan. 

"Ada yang berjaya mengejutkan saya dalam aksi beregu wanita, terutamanya Goh Yea Ching, kami tidak sangka dia memiliki segalanya dan layak dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam skuad beregu wanita. Selepas Joyce Choong mengambil keputusan keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dia sekarang ini masih belum mempunyai gandingan tetap," katanya.

Pei Tty juga mengakui Tee Jing Yi masih lagi perlu banyak belajar untuk menjadi seorang pemain beregu sempurna walaupun mempunyai idea dalam permainan namun masih terbawa-bawa pergerakan sebagai pemain perseorangan.

"Secara peribadi memang dia sukar untuk dikalahkan namun daripada aspek taktikal banyak lagi yang perlu diperbaiki," kata bekas pemain beregu wanita negara itu.

Cabaran skuad negara di Kejohanan Berpasukan Asia berakhir semalam apabila tumpas 0-3 kepada Korea Selatan pada suku akhir namun berjaya menempatkan diri di Piala Uber berdasarkan kedudukan ranking.

833 dibaca
Berita Harian X