Rabu, 14 Februari 2018 | 7:26pm
HUP WEI tetap berpuas hati dengan ketinggian 2.19 meter (m) dicipta di kejohanan berkenaan. - Foto Yazit Razali

Hup Wei enggan dabik dada

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei berkata, dia tidak boleh terlalu taksub atas kejayaan memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Jemputan Sukan Asia ke-18, Jakarta, Indonesia, Ahad lalu.

Pemenang pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu menyifatkan kejayaan itu berlaku di awal musim dan dia hanya perlu menganggapnya sebagai medan pemanas badan sebelum menyertai temasya lebih berprestij.

Bagaimanapun, atlet berusia 31 tahun itu tetap berpuas hati dengan ketinggian 2.19 meter (m) dicipta di kejohanan berkenaan.

"Kejohanan di Indonesia ini seperti pemanas badan kerana tumpuan utama saya adalah di Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia (4 hingga 15 April), kemudian baru saya akan berfikir mengenai Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia (18 Ogos hingga 2 September).

"Tetapi saya agak gembira dengan catatan 2.19m di Indonesia, apatah lagi ramai atlet yang tidak menyertai kejohanan ini," kata Hup Wei ketika mengulas mengenai pencapaian di Indonesia yang turut disertai 15 lagi atlet kebangsaan.

Musim ini, Hup Wei sudah mengutip dua pingat emas dengan kemenangan pertama pada Kejohanan Balapan dan Padang AACT di Canberra, Australia selepas mencatat ketinggian 2.28m.

Hup Wei terus gah apabila turut bergelar juara di Kejohanan Terbuka New South Wales Sydney Klasik di Sydney Olimpik Park dengan lompatan 2.24m sekali gus menewaskan rakan senegara, Nauraj Singh Randhawa.

Hup Wei antara atlet lompat tinggi paling konsisten dan berjaya menyumbangkan tiga emas di tiga temasya Sukan SEA bermula pada 2007 di Manila, 2009 (Vietnam) dan 2011 (Palembang) sebelum rakan senegara, Nauraj mengambil alih takhta penguasaan dalam acara itu.

Dia turut melakar nama di peringkat Asia apabila membawa pulang emas pada Kejohanan Asia di Jordan pada 2007. Bagaimanapun, persaingan dalam acara itu semakin sengit dengan Nauraj kekal sebagai atlet terbaik dan memegang rekod kebangsaan 2.30m.

649 dibaca
Berita Harian X