Ahad, 4 Februari 2018 | 5:45pm
ATLET lompat tinggi negara, Lee Hup Wei melakukan catatan terbaik peribadi 2.28 meter di Kejohanan Balapan dan Padang AACT di Canberra, Australia minggu lalu.

Hup Wei sedia sahut cabaran Gold Coast

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei sudah sedia mengibarkan cabaran negara sekiranya disenaraikan bertanding di temasya Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.

Menurut atlet berusia 30 tahun itu, sememangnya temasya Komanwel menjadi sasaran utamanya tahun ini selain Sukan Asia di Jakarta dan Palembang sekali gus mengimpikan untuk menghadiahkan pingat buat negara.

Impiannya itu bukan mustahil kerana catatan terbaik peribadi 2.28 meter (m) yang dilakukannya di Kejohanan Balapan dan Padang AACT di Canberra, Australia minggu lalu meletakkan dirinya dalam kedudukan pingat, malah jurulatihnya Alex Stewart yakin anak didiknya mampu memberikan kejutan.

Malah, dia membuktikan lagi kemampuannya apabila meraih emas kedua dalam tempoh seminggu selepas mengungguli Kejohanan Terbuka New South Wales Sydney Klasik di Sydney Olimpik Park dengan lompatan 2.24m menewaskan rakan senegara, Nauraj Singh Randhawa (2.24m) manakala gangsa milik Brandon Starc (2.20m), hari ini.

Hup Wei yang kini masih lagi di Australia bersama jurulatihnya itu akan kembali ke tanah air esok untuk menyertai kejohanan ketiga tahun ini, Kejohanan PraSukan Asia di Jakarta minggu depan.

Namun, tiada sasaran khusus diletakkan oleh atlet kelahiran Selangor itu, sebaliknya mahu mengekalkan momentun lompatan agar terus konsisten.

"Saya yakin boleh lompat lagi tinggi. Tapi buat masa sekarang biar saya fokus terlebih dulu kepada Sukan Komanwel.

"Andai berjaya, ia penampilan kedua saya selepas penyertaan pertama di New Delhi pada 2010," katanya.

Hup Wei antara atlet lompat tinggi paling konsisten dan berjaya menyumbangkan tiga emas di tiga temasya Sukan SEA bermula pada 2007 di Manila, 2009 (Vietnam) dan 2011 (Palembang) sebelum rakan senegara, Nauraj mengambil alih takhta penguasaan dalam acara itu.

Dia turut melakarkan nama di peringkat Asia apabila membawa pulang emas pada Kejohanan Asia di Jordan pada 2007.

Bagaimanapun, persaingan dalam acara itu semakin sengit dengan Nauraj kekal sebagai atlet terbaik dan memegang rekod kebangsaan 2.30m.

418 dibaca
Berita Harian X