Jumaat, 2 Februari 2018 | 12:19am
PEGAWAI Kontinjen UiTM, Nor Ashikin Hassan tetap berwaspada dengan kehadiran lebih ramai atlet yang dilihat mampu memberikan saingan kompetitif dalam kejohanan kali ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

UiTM sasar kejuraaan hatrik SUKIPT

BANGI: Juara bertahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) tekad mempertahankan gelaran juara keseluruhan, sekali gus meraih gelaran hatrik menjelang Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 yang bakal berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Bagaimanapun di sebalik keghairahan itu, Pegawai Kontinjen UiTM, Nor Ashikin Hassan berkata, pihaknya tetap berwaspada dengan kehadiran lebih ramai atlet yang dilihat mampu memberikan saingan kompetitif dalam kejohanan kali ini.

"Kami cuba mencipta hatrik kali ini kerana semua sudah melakukan persiapan sejak awal lagi termasuklah atlet itu sendiri.

"Untuk itu kami menyasarkan memenangi 58 pingat emas kali ini. Tapi dalam masa sama kami agak tertekan dengan suasana yang semakin kompetitif kerana lebih ramai atlet yang memasuki universiti dan akan memberikan saingan kuat kepada UiTM.

"Penyertaan universiti antarabangsa luar juga memberikan tekanan kepada pasukan kita, namun perancangan rapi daripada Unit Pembangunan Sukan UiTM dan Pusat Sukan UiTM, Insya-Allah kita sudah bersedia mencapai sasaran," kata Ashikin ketika ditemui pada Majlis Perasmian Perkampungan SUKIPT 2018, hari ini.

Mengulas lanjut, jelasnya Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menjadi antara pesaing hebat buat UiTM kerana mempunyai ramai atlet dalam sukan yang menawarkan banyak pingat emas seperti olahraga dan renang.

Selain UPM, Ashikin berkata Majlis Sukan Politeknik dan Sunway Universiti turut dilihat menjadi pesaing utama buat UiTM.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Kamel Mohamad menyifatkan penganjuran SUKIPT 2018 adalah satu lagi usaha kementerian meneruskan kesinambungan sejak 2012 bagi mencari lebih ramai atlet berbakat di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

SUKIPT 2018 mempertandingkan 27 acara sukan dengan perebutan 236 pingat emas membabitkan penyertaan seramai 10,000 atlet, pegawai serta sukarelawan daripada 69 kontinjen IPT tempatan dan sembilan kontinjen IPT antarabangsa.

SUKIPT 2018 yang memasuki edisi keempat dijadual bermula esok sehingga 10 Februari ini.

404 dibaca
Berita Harian X