Selasa, 30 Januari 2018 | 11:27pm
CHEF DE MISSION Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Huang Ying How (tengah) bersalaman dengan para atlet olahraga pada sesi lawatannya untuk persiapan ke Sukan Komanwel Gold Coast ketika sesi latihan para atlet negara di Majlis Sukan Negara hari ini. - Foto BERNAMA

CDM yakin kemampuan skuad olahraga di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2018, Huang Ying How, yakin skuad olahraga mampu memberikan saingan sengit kepada atlet negara lain menerusi persiapan rapi yang dijalankan selepas berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) Ogos lepas.

Huang mengakui walaupun harapan untuk meraih pingat agak tipis, namun, beliau yakin ia bukan satu halangan untuk atlet kebangsaan mencipta kejutan pada temasya itu di Gold Coast, Australia pada April ini.

"Prestasi atlet olahraga negara meningkat sejak kebelakangan ini walaupun kita tidak ada sasaran pingat untuk skuad olahraga pada Sukan Komanwel nanti.

"Apa yang kita harapkan adalah mereka memberikan persembahan terbaik. Sekiranya mereka mampu mencatat keputusan positif pada peringkat saringan, tidak mustahil untuk mereka layak ke perebutan pingat pada Sukan Komanwel nanti," katanya.

Huang berkata demikian selepas melawat skuad olahraga di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Beliau yakin beberapa atlet elit negara yang berada di bawah Program Podium seperti atlet lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa, tidak berdepan masalah untuk meraih pingat sekiranya dapat mempamerkan prestasi terbaik pada hari pertandingan nanti.

"Harapan saya bahawa atlet yang pernah mewakili negara pada Sukan Komanwel sebelum ini dapat memberikan keputusan yang lebih baik pada kali ini kerana mereka mempunyai pengalaman beraksi berbanding dengan atlet negara yang bertanding buat kali pertama," jelas Huang.

Dalam pada itu, pengurus skuad olahraga ke Sukan Komanwel, Datuk S Vegiyathuman memaklumkan badan induk itu telah menyenaraikan 12 atlet untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel nanti.

Bagaimanapun senarai akhir atlet yang layak beraksi ke temasya sukan berkenaan hanya akan dimuktamadkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia pada Mac nanti.

"Apa yang saya boleh katakan adalah 12 atlet telah disenarai pendek namun, keputusan akhir hanya akan diputuskan oleh KOM sendiri berdasarkan cadangan daripada barisan jurulatih," katanya.

Acara olahraga pada Sukan Komanwel 2018 bakal diadakan dI Stadium Carrara, Gold Coast dari 8 hingga 15 April ini. - BERNAMA

443 dibaca
Berita Harian X