Ahad, 13 Ogos 2017 | 5:37pm
ATLET Malaysia, Khairul Hafiz Jantan (kanan) meraikan kejayaan bersama jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim selepas berjaya memperbaharui rekod baru kebangsaan dengan catatan masa 20.90 saat dalam acara 200 meter lelaki akhir pada Kejohanan Olahraga Pra Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Stadium Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

Peluang olahraga tamat kemarau pingat emas sejak 2003

KUALA LUMPUR: Atlet trek dan padang Malaysia berpeluang untuk menamatkan kemarau pingat emas kira-kira sedekad dalam 10 acara olahraga di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan bermula pada 22 Ogos ini.

Rakyat Malaysia sudah pasti sangat mengharapkan untuk melihat atlet negara meraih kejayaan dalam acara 100m dan 200m lelaki.

Kali terakhir kedua-dua acara itu dimenangi atlet Malaysia adalah menerusi Nazmizan Muhammad pada tahun 2003 di Hanoi.

Namun, harapan kini lebih terarah kepada Khairul Hafiz Jantan selepas prestasi cemerlangnya mencipta rekod 100m dengan catatan 10.18 saat di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tahun lalu.

Malah, atlet kelahiran Melaka itu turut meleburkan rekod bagi acara 200m negara yang dipegang Tan Sri Dr M Jegathesan sejak 1968 selepas mencatat masa 20.90s pada Terbuka Malaysia bulan lalu.

"Pada Sukan SEA, saya fikir Khairul mungkin memecahkan rekod 100 meter lagi," kata jurulatih, Poad Kassim.

"Tetapi saya tidak meletakkan sebarang sasaran pingat kepada mereka, hanya mengharapkan atlet melakukan yang terbaik dan memperbaiki pencapaian individu."

Atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli juga berada di landasan terbaik untuk memenangi pingat emas Sukan SEA pertama Malaysia dalam acara itu selepas Arjan Singh pada tahun 1993, malah dia juga boleh menjadi atlet pertama untuk melakar kejayaan demikian.

"Saya berharap untuk melakukan yang terbaik," kata Ziyad, yang mencatat lontaran sejauh 17.29m untuk memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia bulan lalu.

"Kelahiran anak saya juga memberi motivasi tambahan kepada saya, jadi saya harap semua mendoakan untuk kejayaan saya."

604 dibaca
Berita Harian X