Ahad, 18 Februari 2018 | 12:50am
KAPTEN skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib menekankan pasukannya tidak akan mengambil mudah cabaran Piala Sultan Azlan Shah dan temasya Sukan Komanwel di Gold Coast. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sukri serius hadapi PSAS, Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Kapten skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib menekankan pasukannya tidak akan mengambil mudah cabaran Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bulan depan serta temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, April ini meskipun tumpuan lebih diberikan kepada Sukan Asia Jakarta 2018.

Berbanding kedua-dua saingan berkenaan, Piala Asia menjadi keutamaan Malaysian Tigers memandangkan ia menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020 dan juga mata ranking dunia.

Bagaimanapun, Sukri, 32, mempunyai pendapat berbeza apabila mengakui PSAS dan Sukan Komanwel tidak kurang pentingnya.

"Apabila kami menyertai mana-mana kejohanan, kami perlu mengekalkan konsisten kerana ia penting dalam memastikan pasukan terus mencapai prestasi memuaskan.

"Bagi saya, apa yang penting sekarang ini adalah untuk kami meneruskan rentak cemerlang pada 2017 dan sebolehnya kami mahu mencapai sasaran lebih tinggi pada kedua-dua kejohanan," kata pertahanan kanan negara itu.

Edisi ke-27 PSAS yang dijadualkan berlangsung di Ipoh bermula 3 hingga 10 Mac akan menampilkan enam pasukan terkuat dunia - juara bertahan, Great Britain, Australia (nombor satu dunia), Argentina (kedua), India (keenam), Ireland (ke-10) dan tuan rumah Malaysia (ke-12).

Kejohanan jemputan itu pastinya menjadi platform terbaik bagi ketua jurulatih, Stephen Van Huizen menguji pasukannya menjelang Sukan Komanwel 2018.

Di Gold Coast, skuad negara di undi dalam Kumpulan B bersama-sama India, England, Wales dan Pakistan dengan hanya dua pasukan terbaik akan menempah tiket ke separuh akhir.

"Seboleh-bolehnya saya mahu mendapat pingat dalam penampilan kedua saya di Sukan Komanwel (selepas 2010 di New Delhi), kita juga perlu menjaga maruah sebagai pasukan nombor dua Asia pada temasya terbabit.

"Jadi sasaran utama di Sukan Komanwel adalah mencipta kejutan ke atas India mahupun Great Britain dan cuba untuk beraksi di peringkat separuh akhir," kata Sukri.

Kumpulan A pula terdiri daripada juara bertahan dan tuan rumah, Australia, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan dan Scotland.

Sebagai rekod, dalam penampilan terakhir di Sukan Komanwel Glasgow 2014, Malaysia sekadar menghuni kedudukan ketujuh selepas menurunkan pasukan kedua dengan pencapaian terbaik adalah sebagai pemenang pingat perak ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 1998.

228 dibaca
Berita Harian X