;
Rabu, 14 Februari 2018 | 10:49pm
PELUMBA muda berbakat, Siti Nur Alia Mansor alami masalah sakit dan bengkak belakang sejak lebih seminggu lalu. - Foto Owee Ah Chun

Alia mungkin lupakan ACC 2018

KUALA LUMPUR: Pelumba muda berbakat, Siti Nur Alia Mansor, hari ini melahirkan rasa kecewa dan terkilan kerana mungkin tidak dapat beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2018 (ACC) di Velodrom Nasional bermula Jumaat ini.

Menceritakan kembali puncanya, Siti Nur Alia, berkata dia mungkin terpaksa melupakan hasrat berlumba selepas mengalami masalah sakit dan bengkak belakang sejak lebih seminggu lalu.

Berikutan itu, dia mungkin perlu melupakan penyertaan dalam acara ujian masa individu wanita 500 meter (m), 200m, keirin serta pecut.

Pemenang pingat gangsa acara ujian masa individu 500m Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 itu berkata, dia mengalami sakit belakang dan tidak berlatih seperti biasa minggu lalu.

Berikutan itu, Siti Nur Alia mengambil keputusan melakukan pemeriksaan lanjut di hospital berhampiran sebelum didapati mengalami bengkak tulang belakang oleh doktor.

"Doktor melakukan pemeriksaan lanjut kemudian mengarahkan saya supaya tidak terlalu memaksa diri ketika menjalani latihan kerana bimbang kecederaan tulang belakang itu menjadi semakin serius.

"Pada mulanya saya memang turun menjalani latihan seperti biasa, namun selepas beberapa hari belakang saya menjadi semakin sakit dan tidak boleh melakukannya sekali gus menyebabkan kemungkinan perlu menarik diri daripada ACC kali ini," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Berikutan itu, Siti Nur Alia kini diletakkan dalam senarai pelumba simpanan oleh jurulatih serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan berkemungkinan besar tidak akan beraksi di ACC 2018.  

Sebelum ini, media melaporkan Siti Nur Alia memasang impian meraih sekurang-kurangnya satu pingat menerusi penyertaannya dalam kejohanan itu.

1182 dibaca
Berita Harian X