Rabu, 14 Februari 2018 | 9:29pm
ATLET luncur ais negara, Julian Yee (tengah) turut mencuri perhatian media luar negara. - Foto REUTERS

Julian jadi tumpuan media asing

 

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar mendapat tumpuan media tempatan selaku atlet pertama negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di PyeongChang, atlet luncur ais negara Julian Yee turut mencuri perhatian media luar negara.

Laman web rasmi NBC Olympics misalnya tidak mahu ketinggalan melaporkan mengenai Julian dengan laporan berita pada 8 Februari lalu bertajuk "Figure skater Julian Yee makes history as Malaysia's first Winter Olympian".

Laporan berita itu menceritakan bagaimana permulaan Julian menceburi sukan luncur ais sehinggalah dia melayakkan diri ke PyeongChang dengan pelbagai cabaran terpaksa ditempuhinya.

Akhbar Amerika Syarikat, NewYork Times dalam artikel bertajuk "A Lyrical Twist: Figure Skaters Perform to Music With Words pada 8 Februari pula melaporkan pemilihan muzik lagu berlirik sering ditampilkan Julian dalam persembahannya berbeza dengan peluncur lain yang gemar memilih muzik klasik seperti Tchaikovsky atau Rachmaninoff.

Temasya di PyeongChang juga buat pertama kali membenarkan peluncur menggunakan muzik lagu berlirik bagi menarik lebih ramai penonton lebih muda menyaksikan sukan luncur ais.

Bukan itu saja, Olympic Channel turut merakamkan dokumentari bersiri bertemakan "Far From Home" dengan Julian dipaparkan dalam episod pertama dengan video bertajuk "Malaysia's First Olympic Figure Skater Trains In A Shopping Mall".

Setiap episod dokumentari itu menunjukkan perjalanan menakjubkan atlet yang dipaparkan dengan kisah Julian bermula dengan berlatih di pusat membeli belah hingga melayakkan diri ke pertandingan di Jerman serta pengorbanan dilakukan keluarganya.

Sementara itu, jadual pertandingan Julian akan berlangsung Jumaat ini dalam acara short dengan program disiarkan bermula 9 pagi di Astro Channel 821/823.

Julian, 21, perlu menempatkan diri dalam kalangan 24 terbaik daripada keseluruhan 30 peluncur yang bertanding bagi melayakkan diri ke pusingan akhir (free skating) pada keesokan harinya.

"Cuaca hari ini sangat berangin hingga menyebabkan beberapa kerosakan di perkampungan Olimpik. Namun kami semua berada dalam keadaan selamat," kata pengurus pasukan, Irene Cheow.

Ikuti video Julian di https://www.youtube.com/watch?v>npBbF7Ibdx0.

_______________________________________________________________

JADUAL ATLET NEGARA:

- JULIAN YEE 

16 Februari 2018 (Jumaat) - Figure Skating (short program - pusingan awal): 9 pagi - 1 tengahari

17 Februari 2018 (Sabtu) - Figure Skating (free skating): 9 pagi - 1.25 tengahari

Jeffrey Webb

18 Februari 2018 (Ahad) Alpine Skiing (Giant Slalom): 9.15 pg - 11.10 pagi & 12.45 tengahari-2.45 ptg

22 Februari 2018 (Isnin) - Alpine Skiing (Slalom):  9.15 pg - 11.10 pg & 12.45 tengahari - 2.40 ptg

5801 dibaca
Berita Harian X