Ahad, 14 Januari 2018 | 7:14pm
PASUKAN golf Eropah yang di ketuai Thomas Bjorn (tengah) bersama pasukannya selepas majlis penutupan dan penyampaian hadiah Kejohanan Golf EURASIA Cup 2018 di Glenmarie Golf and Cuntry Club. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pasukan Eropah kekal mahkota Piala EurAsia

KUALA LUMPUR: Pasukan Asia yang diketuai kapten, Arjun Atwal tewas 14-10 kepada Pasukan Eropah pada edisi ketiga saingan golf Piala EurAsia, hari ini sekali gus kekalahan kedua berturut-turut mereka dalam pertarungan membabitkan dua benua itu.

Mengulas kekalahan itu, Atwal berkata barisan pemainnya beraksi dengan baik tetapi Pasukan Eropah yang diketuai Thomas Bjorn jelas pasukan lebih bagus sekali pun mereka ketinggalan menuju hari ketiga kejohanan yang berlangsung di Kelab Golf & Country Glenmarie itu.

"Strategi kami bagus, kami hanya tewas kepada pasukan yang lebih baik," kata Atwal, 45, yang juga pemenang lapan kali Jelajah Asia.

"Pasukan Eropah menewaskan kami dan ada banyak warna biru (di atas papan) tetapi mereka bermain dengan amat rapat, dan kami juga tidak ketinggalan begitu jauh."

Pemenang sembilan kali Jelajah Eropah, Alex Noren yang turun selaku pemain pertama Eropah ke lapangan tidak bermasalah untuk mengutip mata selepas menewaskan pemain negara, Nicholas Fung 4-2.

Pemain berusia 35 tahun itu melengkapkan kemenangannya pada lubang ke-16 untuk kembali menyamakan kedudukan buat Pasukan Eropah.

Nicholas yang membuat penampilan ketiganya di kejohanan berprestij itu mengakui kekalahannya kepada Noren yang disifatkan antara pemain terbaik di Eropah ketika ini.

"Saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Ia kerana Noren salah seorang pemain terbaik di Eropah. Jadi saya fikir, saya hanya mahu pergi ke sana dan menikmati permainan selain mempelajari sesuatu daripadanya," kata Fung, 28.

Pemain kedua Pasukan Asia, Gavin Green yang turut selaku pemain kedua juga tewas 4-3 kepada pemain Sepanyol, Rafael Cabrera Bello dengan kekalahan itu jelas mengecewakan pemain berusia 24 tahun berkenaan.

"Ia mengecewakan. Saya tidak tahu apa untuk diucapkan kerana ia hari yang sukar. Saya memulakan saingan dengan buruk dan seperti kamu tahu, bogey yang mudah yang memberi padah kepada saya," kata pemenang Taiwan Masters 2017 itu.

Turut mengutip mata kemenangan bagi Pasukan Eropah ialah pemain nombor satu Eropah, Tommy Fleetwood, Henrik Stenson, Bernd Wiesberger dan Tyrrell Hatton.

Antara pemain Asia yang menang pula ialah pemain Thailand, Poom Saksansin, Kang Sunghoon dan pemain Jepun, Yuta Ikeda.

Selaku pemenang, Pasukan Eropah berkongsi hadiah kemenangan RM14.3 juta manakala Pasukan Asia menerima RM4.8 juta.

160 dibaca
Berita Harian X