Sabtu, 13 Januari 2018 | 12:41pm
PELUMBA negara, Fauzan Lutfi tidak meletakkan sasaran podium dalam acara ujian masa individu pada Kejohanan Lumba Basikal Asia di Myanmar. - Foto Danial Saad

Fauzan mahu baiki pencapaian di ACC Myanmar

KUALA LUMPUR: Pelumba berpengalaman negara, Fauzan Lutfi tidak meletakkan sasaran podium dalam acara ujian masa individu pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Nay Pyi Taw, Myanmar bulan depan.

Sebaliknya penunggang berusia 32 tahun itu mahu membaiki pencapaian edisi 2017 apabila menamatkan perlumbaan di tangga kesembilan.

"Ini kejohanan peringkat Asia, jadi saingan agak sengit. Malah saya baru memulakan latihan sejak beberapa minggu lalu, jadi saya tidak boleh meletakkan sasaran terlalu tinggi.

"Cuma saya harap mampu membaiki pencapaian 2017 apabila berada di kedudukan kesembilan selain memastikan mampu muncul pelumba terbaik dalam kalangan pelumba Asia Tenggara," jelas pemenang emas Sukan SEA dalam acara ujian masa berpasukan itu.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyenaraikan Fauzan antara 17 pelumba negara ke kejohanan dari 6 hingga 12 Februari depan.

"Terima kasih kepada PKBM kerana memberi kepercayaan kepada saya kali ini. Saya akan cuba melakukan yang terbaik.

"Ini juga sebahagian daripada persiapan awal untuk menghadapi Sukan Asia di Indonesia," ujarnya.

65 dibaca
Berita Harian X