Ahad, 13 Ogos 2017 | 5:20pm
PENINJU negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan (kanan) sedia buru emas pertama di Sukan sea KL2017. - Foto Rosli Ahmad

Fuad harap tuah undian raih emas

KUALA LUMPUR: Penampilan kali kelima di Sukan SEA sudah cukup untuk mematangkan petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan dalam memburu emas pertama bagi dirinya.

Mula menggalas cabaran negara sejak Sukan SEA 2009 ketika berusia 18 tahun, pencapaian terbaik Fuad adalah pada edisi 2013 apabila meraih gangsa.

"Saya memang mengharapkan sesuatu apabila turun di tempat sendiri, sebolehnya emas kerana sudah lama tinju tidak meraih emas di Sukan SEA.

"Saya mahu menaikkan kembali sukan ini. Tinju akan terus dipandang sepi sekiranya kami tidak meraih pencapaian yang positif di Kuala Lumpur," jelasnya.

Kali terakhir skuad tinju negara meraih emas adalah pada edisi 2009 di Laos apabila kejutan dilakarkan menerusi Mohd Farkhan Haron dan Mohd Fairus Azwan Abdullah.

Bagaimanapun Fuad sedar laluan dirinya untuk muncul juara dalam kategori 49 kilogram tidak mudah kerana juara bertahan dari Indonesia, Kornelis Kwangu Langu dan pemenang perak, Rogen Ladon dari Filipina serta pencabar baru dari Thailand menanti dirinya.

"Sebab itu saya berharap tuah undian turut membantu kali ini. Sebagai contoh, Kornelis muncul juara di Singapura dua tahun lalu kerana tuah undian walaupun saya pernah menewaskannya ketika kejohanan luar sebelum Sukan SEA bermula.

"Ia bukan saja mengenai kekuatan namun tuan undian turut memainkan peranan," tambahnya.

Selain Fuad, petinju negara akan bersaing dalam lima kategori lain menerusi Abdul Salam Kasim (52kg), Arfiqanie Ahmad Ansori (56kg), Khir Akyazlan Azmi (64kg), R Indran (75kg) dan Adli Hafidz Mohd Pauzi (81kg).

Berita Harian X