Rabu, 14 Februari 2018 | 10:03am
PENGURUS United, Jose Mourinho mempertahankan VAR kerana berpendapat ia membantu pegawai perlawanan membuat keputusan adil.

Mourinho pertahan VAR, minta tambah baik

LONDON: Bos Manchester United, Jose Mourinho mempertahankan sistem video bantuan pengadil (VAR) kerana berpendapat ia membantu pegawai perlawanan membuat keputusan adil.

Namun dalam masa sama beliau berkata ia perlu ditambah baik bagi mengekalkan kelancaran permainan.

United akan beraksi dalam perlawanan yang akan mencuba VAR buat pertama kali di Huddersfield pada pertemuan pusingan kelima Piala FA, pada Sabtu ini.

VAR sebelum ini sudah diperkenalkan dalam saingan itu musim ini, ketika West Brom menang 3-2 di Liverpool pada pusingan keempat dan dalam Piala Liga.

Sistem berkenaan meneliti insiden-insiden penting membabitkan gol, keputusan penalti, kad merah dan kes-kes tersilap pemain.

Ditanya berkenaan pandangannya terhadap VAR, Mourinho memberitahu saluran rasmi United MUTV: "Apabila orang bertanya jika kami sukakannya, jika kami tidak sukakannya, jika kami bersetuju dengannya atau tidak, saya rasa secara jujurnya ia soalan yang perlu ditujukan kepada pengadil.

"Mereka mahu memberi persembahan sebaik mungkin. Mereka tidak suka melakukan kesilapan. Dan kadang kala mereka melakukan kesilapan kerana mereka adalah manusia dan anda tidak boleh mengatasinya kecuali mempunyai sokongan teknologi.

"Jadi jika pengadil gembira dengan sokongan teknologi, maka iya, kita gunakan VAR. Saya rasa, dari perspektif saya, saya sukakan perasaannya."

Namun pengendali United itu berkata sedikit perubahan perlu dilakukan bagi memastikan teknologi berkenaan tidak mengganggu rentak permainan.

"Sudah tentu mereka perlu ditambah baik," katanya.

"Mereka perlu memastikan yang mereka tidak menukar dinamik permainan terlalu banyak, emosi permainan terlalu banyak - orang terpaksa menunggu beberapa minit untuk mengetahui sama ada mereka boleh melompat (dan meraikan) kerana ia adalah gol.

"Tetapi dari sudut pandangan profesional saya, saya suka dengan kepastian, keputusan yang betul. Sama ada ia penalti atau tidak, bola terkena tangan atau tidak, kad merah atau tidak. Saya rasa keputusan yang adil adalah perkara yang paling saya suka." - AFP

1029 dibaca
Berita Harian X