Ahad, 14 Januari 2018 | 6:48am
PENYERANG Spurs, Harry Kane mengatasi rekod Teddy Sheringham sebagai penjaring gol terbanyak pasukan dengan 98 gol. - Foto REUTERS

Kane pecah rekod jaringan Sheringham di Spurs

LONDON: Penyerang England, Harry Kane meraih satu pencapaian awal pagi tadi apabila dua jaringannya ketika membenam Everton 4-0 menyaksikannya mengatasi Teddy Sheringham sebagai penjaring gol terbanyak Tottenham Hotspur dalam Liga Perdana Inggeris dengan 98 gol.

Pemain berusia 24 tahun itu turut mencapai angka 20 buat musim keempat berturut-turut dalam Liga Perdana namun masih jauh ketinggalan berbanding legenda Spurs, Jimmy Greaves, yang menyumbat 220 gol dalam 321 penampilan Divisyen Satu.

Rekod terdahulu Sheringham 97 gol hadir selepas dua kali mewakili Spurs dan bertahan sejak 2003.

"Harry Kane seorang pemain paling berbakat, amat profesional dan saya sangat gembira," kata pengurus Spurs, Mauricio Pochettino.

"Dia berhak mendapat kredit dan banyak pujian. Dengan cara ini dia akan memecah semua rekod dalam Liga Perdana.

"Apa yang bagus rekod Jimmy Greaves (penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Tottenham dengan 220 gol) terlalu jauh jadi tidaklah setiap minggu dia akan memecahkan sesuatu."


PEMAIN Spurs, Son Heung-Min (dua dari kiri) menjaringkan gol pertama ketika bertemu Everton, sebentar tadi. - Foto AFP

Pemain Korea Selatan, Son Heung Min memulakan rentak Spurs dengan gol pertama bagi menyamai rekod bekas penyerang Tottenham, Jermain Defoe menjaringkan gol dalam lima perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun pemain berusia 25 tahun itu lebih suka memuji Kane.

"Dia seorang penyerang terbaik di dunia. Saya seorang peminat tegar Harry," kata Heung Min.

"Saya mungkin lebih tua berbanding Harry tapi saya belajar daripadanya sepanjang masa."


AKSI Harry Kane (kanan) ketika menjaringkan gol ketiga Spurs ketika menewaskan Everton di Wembley, sebentar tadi. - Foto AFP

Rekod terbaru hadir selepas tahun 2017 yang cemerlang buat Kane.

Jumlah 39 gol dijaringkannya menyaksikannya mengatasi rekod Alan Shearer bagi gol terbanyak Liga Perdana dalam setahun, memadamkan rekod 36 jaringan Shearer pada 1995. - AFP

1213 dibaca
Berita Harian X