Rabu, 29 November 2017 | 9:33am
PEMAIN Real, Gareth Bale memainkan watak penting apabila membantu Real Madrid mara ke pusingan 16 terbaik Piala Raja Sepanyol, sebentar tadi. - Foto EPA

Bale tak hilang bisa

MADRID: Gareth Bale memainkan watak penting pada penampilan semulanya selepas diketepikan selama dua bulan apabila membantu Real Madrid mara ke pusingan 16 terbaik Piala Raja Sepanyol, sebentar tadi.

Penyerang antarabangsa Wales itu melakukan hantaran cantik untuk gol pertama daripada dua jaringan yang dihasilkan Borja Mayoral ketika Real seri 2-2 dengan kelab divisyen tiga, Fuenlabrada di Santiago Bernabeu.


BORJA Mayoral meledak dua gol ketika bertemu Fuenlabrada pada aksi Piala Raja Sepanyol di Santiago Bernabeu. - Foto EPA

Walaupun seri namun skuad kendalian Zinedine Zidane itu mara ke pusingan 16 terbaik dengan agregat 4-2.

Fuenlabrada yang tewas 0-2 pada aksi pertama mengejutkan Real apabila Luis Milla membuka tirai jaringan buat pasukan itu pada babak pertama.

Bagaimanapun, Mayoral meledak dua gol pada babak kedua selepas Bale dibawa masuk pada babak kedua perlawanan.


PEMAIN Real, Marcos Llorente (kanan), diasak pemain Fuenlabrada, Luis Milla pada aksi Piala Raja Sepanyol di Santiago Bernabeu. - Foto EPA

Alvaro Portilla menjaringkan gol penyamaan buat pasukan pelawat tetapi ia sudah terlewat dengan Real memastikan slot ke pusingan seterusnya menjadi milik mereka untuk menyertai Celta Vigo, Levante dan Leganes

Sementara itu, pasukan yang bergelut dalam saingan Liga Sepanyol, Malaga tersingkir daripada saingan kali ini apabila tewas 2-3 secara agregat di tangan kelab divisyen dua, Numancia. - AFP

1471 dibaca
Berita Harian X