Sabtu, 12 Ogos 2017 | 4:58pm
PEMAIN Johor Darul Ta'zim, Muhd Safawi Rashid (tengah) turut diberi kepercayaan semula oleh Jurulatih Datuk Ong Kim Swee untuk beraksi di KL2017 bermula Isnin ini. - Foto Osman Adnan

Kim Swee kekalkan 6 pemain kontroversi


KIM Swee (kiri) mengumumkan senarai muktamad 20 pemain yang mewakili negara pada Sukan SEA, pada sidang media hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Enam pemain kontroversi yang tidak bersama skuad bawah 22 tahun negara (B-22) ke Bangkok bulan lalu antara 20 pemain yang diberikan kepercayaan untuk beraksi di Sukan SEA bermula Isnin ini.

Jurulatih Datuk Ong Kim Swee sebaliknya menggugurkan lapan pemain daripada pasukan namun pemain yang tidak mendapat pelepasan pasukan pada kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok iaitu Matthew Davies, Nor Azam Azih (Pahang), S Kumaahran, Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) dan Haziq Nadzli, Safawi Rasid (Johor Darul Ta'zim) terpilih wakili negara.

Beliau berkata, ia pemilihan pemain paling sukar pernah diharunginya dalam empat edisi Sukan SEA sejak 2011.


PEMAIN skuad bawah 22 negara, Matthew Davies (tengah) ketika sesi latihan persiapan menghadapi Sukan Sea KL2017 di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, baru-baru ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Ini bukan keputusan mudah, boleh dikatakan sebagai jurulatih dalam empat edisi Sukan SEA ini paling sukar. Lapan pemain yang digugurkan mempunyai kredibiliti masing-masing.

"Kita mendapat kejayaan di Bangkok tapi ia sudah berlalu, saya percaya dengan gabungan enam, tujuh pemain baru, ia akan memantapkan pasukan," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Bagaimanapun walaupun Amierul Hakimi Awang tidak berada dalam senarai akhir pemain, penjaga gol itu akan terus kekal bersama pasukan.

"Bila ada penjaga gol yang mengalami kecederaan serius, mengikut peraturan kita boleh menukar pemain penjaga gol. Jadi Amierul perlu bersedia untuk digantikan pada bila-bila masa," kata Kim Swee.

Skuad muda negara akan memulakan kempen Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

7212 dibaca
Berita Harian X