Rabu, 9 Ogos 2017 | 7:12pm
PEMAIN Malaysia, (dari kiri); Amirul Hisyam, Ahmad Khairil Anwar dan Samer Kutty pada sesi latihan Skuad Projek Sukan SEA 2017 di padang latihan SIme Darby FC Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

Beto tak akan mengalah

SHAH ALAM: Tempoh tiga hari ini mungkin akan menjadi tempoh paling getir dalam karier bola sepak pemain muda Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri atau lebih dikenali dengan gelaran Beto.

Dalam tempoh singkat itu, dia diberi peluang oleh jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee untuk merebut tempat ke dalam skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebelum senarai akhir 20 pemain diumumkan pada Sabtu ini.

Meskipun namanya tiada dalam senarai 27 pemain yang dipanggil Kim Swee, Beto kembali menjalani latihan penuh bersama pasukan semalam selepas dua bulan berehat akibat kecederaan lutut kanan.

"Kecederaan saya semakin pulih, tahap kecergasan saya sudah capai 90 peratus, jadi saya minta kepada jurulatih (Kim Swee) untuk memberi saya peluang berlatih bersama.


AHMAD Khairil Anuar (kiri) dipantau Kim Swee pada sesi latihan Skuad Projek KL 2017 di padang latihan SIme Darby FC Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

"Untuk dapatkan semula rentak permainan, ia akan mengambil masa kerana saya sudah dua bulan tidak bermain, tetapi saya sudah seminggu melakukan latihan ringan.

"Dalam tempoh beberapa hari ini, saya akan melakukan latihan penuh, jadi saya akan mencuba sebaik mungkin," kata pemain tengah itu.

Ketika skuad B-22 dibimbing bekas jurulatih, Frank Bernhardt, nama Beto tidak pernah tercicir daripada senarai dan selalu dipilih sebagai pemain utama pasukan.

Bagaimanapun, kecederaan yang dialami menjejaskan peluangnya termasuk terlepas aksi di pusingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, bulan lalu.

Pemain berusia 22 tahun ini sedar, saingan merebut posisi tengah dalam skuad negara agak sukar dengan kehadiran Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah), Nor Azam Azih (Pahang), Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Danial Amier Norhisham dan Ahmad Azriddin Rosli (FELDA United).

"Saya sudah berusia 22 tahun, ini peluang terakhir saya untuk mewakili negara di Sukan SEA, dua tahun lalu di Singapura saya gagal mendapat tempat.

"Jika melihat kepada senarai pemain yang ada, memang sengit untuk berada dalam senarai akhir 20 pemain," katanya.

3039 dibaca
Berita Harian X