Selasa, 4 September 2018 | 11:10am

Permulaan positif kebangkitan skuad bola sepak negara

Kejayaan skuad bawah 23 tahun negara mara ke peringkat 16 pasukan terbaik bola sepak Piala Asia 2018 dilihat permulaan positif bagi kebangkitan bola sepak Malaysia.

Lebih manis, Malaysia mara ke peringkat berkenaan dengan mengalahkan gergasi Asia, Korea Selatan selepas 44 tahun.

Malaysia tampil ke Sukan Asia dengan 80 peratus pemain yang sama dalam kejohanan Piala AFC, dibantu dua pemain senior, Badrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali bagi kuota pemain lebih umur.

Mereka terpaksa melupakan empat ayam tambatan apabila Azam Azih dan Matt Davies tidak dilepaskan pasukan negeri, selain Thanabalan dan Daniel Amir digugurkan pada saat akhir kerana kecederaan.

Namun pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee tetap optimis dengan barisan pemain sedia ada untuk mengisi kelompongan yang ditinggalkan pemain yang digugurkan.

Malaysia memulakan kempen dengan menundukkan Krygstan (3-1) disusuli Korea Selatan (2-1) sebelum tumpas 2-3 kepada Bahrain dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Namun Malaysia layak ke peringkat seterusnya dengan menjadi juara kumpulan berdasarkan format head to head sebelum tewas 0-1 kepada Jepun.

Bermula dengan baik

Berdasarkan rekod, skuad muda negara bermula dengan baik apabila menjadi naib juara Sukan Asia Tenggara (SEA) 2017.

Mereka meneruskan perjuangan ke peringkat suku akhir Piala AFC bawah 23 tahun sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Korea Selatan pada awal Januari.

Pujian harus diberikan kepada pengendali sebelumnya, Frank Bendhart yang berani memberi peluang kepada beberapa pemain, Safawi Rashid (T-Team) dan Adib Zainuddin (FELCRA FC) dalam membarisi skuad negara.

Sentuhan emas Kim Swee yang menyesuaikan barisan sedia ada dengan menerapkan formasi 3-4-3 dilihat lebih sesuai selepas pulang berguru di Queen Park Rangers (QPR) selama sebulan.

Nama seperti Akhyar Rashid, Safawi Rashid dan Adam Nor Azlin kini disebut dalam kalangan peminat mengenai potensi mereka untuk menimba pengalaman dalam liga lebih mencabar di luar negara.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga perlu mengambil pendekatan menghantar pemain berpotensi ke luar negara bagi mengikuti jejak langkah Shahrel Fikri (kini bermain di Liga Thailand) untuk meningkatkan kualiti permainan, selain pengalaman yang ditimba dengan suasana lebih mencabar.

Penulis berharap FAM dapat membuat perancangan teliti masa depan pemain muda dalam usaha mempertingkatkan tahap permainan mereka dan percaya pengurusan baharu FAM mempunyai hubungan baik dengan banyak kelab dari luar negara.

Muhammad Shahrul Naim Mohd Tokiman
Universiti Sains Islam Malaysia

959 dibaca
Berita Harian X