Selasa, 18 September 2018 | 11:59am
PROF. Datuk Seri Dr. Md Salleh Yaapar (kiri) membentang tajuk : Warisan Syaikh Yusuf al - Makasari di Selatan Afrika pada Bicara @ Muzium : Melayu Merentasi Samudera : Cape Towm dan turut hadir pembentang Moegamat Gielmie Hartley (dua dari kanan) dan Sakiinah Mahamad Hakimi (kanan) di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia. - Foto Owee Ah Chun

Melayu Cape pertahankan jati diri dengan agama

KUALA LUMPUR: Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di Afrika Selatan menyimpan seribu satu rahsia sekumpulan orang Melayu yang dibawa dari Kepulauan Melayu ke wilayah itu oleh penjajah Belanda.

Seminar Bicara@Muzium: Melayu Merentasi Samudera: Cape Town di Muzium Negara di sini, menyingkap sejarah penderitaan generasi awal Melayu Cape.

Pengerusi Persatuan Masyarakat Budaya dan Sejarah Melayu Cape, Moegamat Gielmie Hartley, berkata Tanjung Harapan dianggap ‘Tanjung Penderitaan’ tetapi apa yang mengekalkan jati diri mereka sebagai Melayu ialah pegangan Islam yang masih kuat.

Tegas Moegamat Gielmie, beliau sendiri tidak begitu fasih berbahasa Melayu disebabkan sejarah ratusan tahun dicengkam penjajahan tetapi belajar bahasa Melayu secara sendiri.

Moegamat Gielmie antara waris Melayu Capetown yang sebenarnya turut membina namanya sendiri. Di sana, beliau adalah Pengerusi Persatuan Seni Silat Pukulan Melaka (PSSPM).

Menyingkap sejarah Melayu Cape di Afrika Selatan, Moegamat Gielmie berkata, terdapat cubaan untuk membungkam suara Melayu Cape, selain menghancurkan jati diri kewujudan mereka.

“Maklumat mengenai Kepulauan Nusantara lewat kami terima. Malah pada satu peringkat selama 120 tahun, iaitu antara tahun 1684 hingga 1804, amalan beragama juga diharamkan kecuali doktrin gereja Belanda,” katanya.

Bagaimanapun semangat orang Melayu Cape sangat kuat untuk mempertahankan Islam apabila mereka mengamalkannya secara rahsia dengan melagukan ayat al-Quran dan selawat, amalan yang kuat itu dilihat sebagai faktor mengapa Melayu masih wujud di Afrika Selatan.


PEMBENTANG, Moegamat Gielmie Hartley pada Bicara @ Muzium : Melayu Merentasi Samudera : Cape Towm di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia. - Foto Owee Ah Chun

Tegas Moegamat Gielmie, semua cengkaman itu berakhir pada 1994 apabila berlaku peralihan kuasa dari kerajaan Parti Nasional Afrika Selatan yang memerintah sejak 1948 kepada Kongres Nasional Afrika (ANC).

Bagaimanapun parut cengkaman penjajahan itu masih kekal, kata Moegamat Gielmie, justeru harapan kebanyakan orang Melayu Cape tidak terlalu tinggi, sebaliknya apa yang mereka inginkan hanyalah untuk menunaikan haji.

“Sekitar 1960-an, Kerajaan Malaysia menawarkan Melayu Cape untuk bermastautin di negara ini. Ramai juga keluarga yang kembali tetapi kemudiannya pulang semula ke Cape Town.

“Hal ini sukar dijelaskan tetapi apabila kita hidup dalam cengkaman selama beratus-ratus tahun, mungkin sukar menyesuaikan diri,” katanya.

Sejarah keberadaan orang Melayu di Afrika Selatan sebenarnya bermula sejak awal abad ke-17. Ketika itu, Syarikat Hindia Timur Belanda atau Vereenigde Oost-Indische Compagnie (VOC) menguasai keseluruhan Hindia Timur.

Pada 1625, mereka menguasai Tanjung Harapan dan mewujudkan bandar yang awalnya dinamakan Kaapstad, sebelum diubah nama oleh penjajah Inggeris sebagai Cape Town pada 1806.

Belanda menjadikan Kaapstad sebagai gudang barangan dan stesen persinggahan dalam laluan ulang-alik antara Eropah dan Hindia Timur. Ia ditadbir menerusi Batavia di Jawa.

Profesor Kesusasteraan yang juga Ombudsman Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar dalam seminar yang sama menyebut, kedudukan Kaapstad sebagai stesen singgah itu menimbulkan keperluan tenaga kerja.

Oleh itu mulai tahun 1658, sejumlah orang Melayu yang digelar sebagai Maredhika (Merdeka) dibawa oleh Belanda dari Hindia Timur, terutama Ambon ke sana.

“Keperluan itu bertambah dari masa ke semasa dan Belanda membawa lebih ramai orang Melayu ke Kaapstad sebagai hamba abdi.

“Selain itu, terdapat juga puak penentang kolonial yang dibuang ke Kaapstad bermula tahun 1667. Kebanyakan pejuang anti kolonial ini adalah golongan bangsawan dan pemimpin agama yang berpengaruh dengan kumpulan terbabit dikenali sebagai Orang Cayen (Orang Kaya),” katanya.

Antara tokoh terkemuka yang dibuang ke sana ialah Sheikh Yusuf al-Makasari al-Bantani yang berasal dari Gowa, Makasar. Beliau ialah ulama dan tuan guru sufi serta komandan pertempuran tentera mentuanya, Abdul Fatah Sultan Ageng dari Banten. Pertempurannya menentang penjajah di Makasar tewas dan beliau tertangkap.

“Sheikh Yusuf dibuang Belanda ke Sri Lanka awalnya sekitar 1682. Belanda gerun dengan pengaruhnya yang berjaya mempengaruhi penduduk Sri Lanka menyebabkan beliau dibuang ke Kaapstad bersama-sama isteri, 50 pengikut termasuk 12 imam,” katanya.

Tegas Md Salleh, beliau adalah antara tokoh ulung perkembangan Islam di Cape Town.

734 dibaca
Berita Harian X