Isnin, 12 Februari 2018 | 5:07pm
Foto hiasan

Bahasa rojak 'melekat' di bibir penyiar radio

KUALA LUMPUR: Januari lalu menandakan sudah lima tahun Buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Massa dilancarkan yang bertujuan membantu pengamal media menggunakan bahasa Melayu yang betul tetapi ia nampaknya masih belum digunakan sepenuhnya.

Pelancaran buku yang dirangka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu dilakukan bagi memastikan penyampaian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di kalangan warga media penyiaran, media cetak dan media baharu mencapai kecemerlangan daripada segi ejaan, sebutan, diksi serta intonasi.

Bagaimanapun dengan pertumbuhan pesat stesen radio tempatan, agenda memartabatkan bahasa Melayu dilihat sedikit terbantut terutamanya apabila terdapat penyiar di sesetengah stesen menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan bercampur aduk ketika ke udara.

Tiada isu timbul jika sesuatu rancangan radio itu dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, malah jika penyiar radio menggunakan bahasa Melayu tidak rasmi sekali pun supaya kelihatan lebih santai tetapi yang menjadi persoalan adalah mengapa kedua-dua bahasa itu digunakan bercampur-aduk hingga mengelirukan pendengar?

Ketua Produksi Berita dan Hal Ehwal Semasa, Bernama News Channel, Mohamad Letfee Ahmad, berkata buku garis panduan itu sepatutnya mencukupi sebagai panduan buat pengamal media di negara ini.

"Bagaimanapun, ia hanya diikuti sebahagian pengamal media sedangkan yang lainnya masih lagi mengabaikan garis panduan disediakan dan ini tidak menghairankan kerana ketiadaan penguatkuasaan pihak berwajib.

"Sebab itu kita mahu desakan supaya akta khusus DBP diwujudkan supaya badan bahasa itu dapat memperkasa penggunaan bahasa Melayu termasuk mendenda dan menghukum pihak yang culas dalam menggunakan bahasa Melayu yang betul.

"Namun disebabkan akta itu tiada, sehingga kini kita masih tidak dapat memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu mengikut cara yang sepatutnya," katanya ketika ditemui Sastera & Budaya BH di Wisma BERNAMA, di sini.

Mohamad Letfee berkata, paling utama mengenai isu ini ialah kesedaran pembuat keputusan di sesebuah organisasi bagi memperkasa bahasa Melayu.

Beliau yang pernah menjadi penyiar radio di Radio Malaysia Kawasan Utara berkata, tidak salah untuk menggunakan bahasa tidak rasmi tetapi tindakan mencampurkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

"Jika pembuat keputusan sendiri mengambil tindakan yang tegas dalam isu ini termasuk tidak berbuat demikian dengan alasan mengekalkan kadaran pendengar yang tinggi, tidak mungkin penyiar sendiri berani mencampur aduk bahasa Melayu dan Inggeris.

"Saya sendiri mengambil pendirian yang tegas dalam isu ini misalnya dalam penggunaan perkataan bajet yang 'dipaksakan' seseorang yang pernah berada dalam kepemimpinan tertinggi negara kepada semua pengamal media kerana keengganannya menggunakan perkataan belanjawan.

"Namun saya gunakan juga perkataan belanjawan dalam setiap rancangan televisyen dan radio kerana itulah perkataan bahasa Melayu yang sebenar meskipun terpaksa akur kerana perkataan bajet itu kini sudah dijenamakan bagi pengumuman belanjawan di negara ini," katanya.

Sebagai sebahagian kaedah memastikan stesen radio melalui rancangan kelolaannya dapat terus menjadi satu alat komunikasi berkesan dan pada masa sama masih memperkasa bahasa Melayu, Mohamad Letfee mencadangkan supaya diwajibkan latihan bagi bakal penyiar.

Beliau berkata melalui latihan itu, kalangan penyiar radio ini akan diberi garis panduan mengenai penggunaan bahasa Melayu yang betul, sekali gus mengelak daripada menggunakan campuran dengan bahasa Inggeris ketika ke udara.

Katanya, kebanyakan yang menjadi penyiar hari ini dari kalangan selebriti yang tidak semuanya memiliki latar belakang dalam penyiaran justeru mewajibkan latihan ini akan membolehkan mereka tampil yakin berbahasa Melayu.

"Penggunaan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ini akan mengelirukan pendengar meskipun ia digunakan atas alasan menarik perhatian pendengar dan saya sendiri tidak bersetuju dengan alasan itu.

"Jika mahu menarik perhatian pendengar, kemukakan topik yang menarik dan bukan mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris.

"Ini semua berkait dengan jati diri kerana bagaimana Singapura boleh menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam siaran televisyen dan radio mereka tetapi tidak kita?" katanya.

947 dibaca
Berita Harian X