Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:30pm
Peserta Forum Puisi dan Syair ASEAN di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ariff Mohamad.

'Tiada karya sastera sentuh nasib Rohingya'

PERJUANGAN Bangsa yang diangkat sebagai tema Forum Puisi dan Syair ASEAN 2017 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur, ternyata menyingkap rahsia hampir setiap negara anggota menerusi pembentangan kertas kerja berhubung perjuangan kemerdekaan di negara masing-masing.

Malah, ada sesetengah negara yang hingga kini berhadapan konflik 'mencari diri', selain masih ada watan terkapai-kapai memulakan langkah sebagai bangsa.

Myanmar misalnya, menerusi perkongsian penyair Aung Khin Myint menjelaskan Rohingya yang kini dilayan kejam oleh tentera kerajaan sebenarnya memang tidak pernah dianggap wujud di kalangan masyarakatnya.

"Rohingya terasing daripada kebudayaan orang Myanmar keseluruhannya kerana mereka berbeza dan bercakap dalam bahasa yang tidak sama dengan kami," katanya pada sesi soal jawab.


Penyair Myanmar, Aung Khin Myint​ membentangkan kertas kerja pada Forum Puisi dan Syair ASEAN di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Tidak sentuh Rohingya

Meskipun Khin Myint membentangkan perjalanan sejarah politik Myanmar dalam puisi, isu Rohingya langsung tidak disentuh.

"Rohingya adalah isu yang sensitif dan saya bukanlah orang yang sesuai untuk menyuarakan pandangan kerana sejarahnya yang berserabut dan pelbagai versi.

"Sehingga kini tidak ada karya sastera yang menyentuh mengenai nasib mereka kalau ada dalam bahasa mereka saya tidak pasti, sebaliknya ia lebih dalam bentuk artikel akademik.

"Ya, ada banyak kritikan mengenai apa yang berlaku dan ada juga pelbagai pandangan. Namun untuk menghuraikan apa yang berlaku memerlukan masa," katanya.

Penjelasannya boleh dianggap jawapan selamat dan kerana itu seluruh dewan yang menjadi saksi pembentangannya mengalih perhatian kepada penyair Brunei, Dr Mohd Ali Radin mengenai perjuangan bangsanya dalam puisi.


Penyair Myanmar, Aung Khin Myint​ membentangkan kertas kerja pada Forum Puisi dan Syair ASEAN di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Sejarah berdasar orientalis

Agak menarik apabila Ali Radin menyebut sejarah yang diajar di sekolah di Brunei, Malaysia dan Indonesia juga sebenarnya adalah sejarah yang palsu.

"Sejarah yang diajar di sekolah adalah apa yang hendak diceritakan oleh orientalis. Ia adalah sejarah palsu yang berpaksikan kuasa," katanya yang menekankan tentang wacana kuasa anjuran Michel Foucault.

Bagaimanapun sayang sekali Ali Radin, tidak berani untuk menghuraikan lebih lanjut mengenai pembentangannya apabila diasak meskipun sangat berani mengungkit perihal kepalsuan sejarah.

Terdahulu, Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ariff Mohamad pada sesi pertama forum, mengulas semangat nasionalisme dan perjuangan kemerdekaan bukan hanya bergema dalam karya puisi sebelum merdeka tetapi kekal hingga kini.

"Sajak yang membawa persoalan perjuangan bangsa dan negara masih dihasilkan malahan rancak menjelang ulang tahun kemerdekaan," katanya.

Hal ini tegas Ariff dicetuskan atas rasa kecintaan penyair terhadap negara ini zaman berzaman.

"Sajak-sajak tentang nasionalisme ini bagaimanapun bersifat sentrik, menumpukan kepada negara sendiri," katanya.

85 dibaca
Berita Harian X