Jumaat, 29 September 2017 | 11:10am
MD Salleh Yaapar

Puisi,syair satukan ASEAN

KUALA LUMPUR: Acara Forum Puisi dan Syair ASEAN 2017 menjadi platform negara anggotanya berhimpun untuk mengenali ragam dan silang budaya dunia kesusasteraan Asia Tenggara.

 

Meskipun berbeza bahasa dan budaya, ia masih mampu mengeratkan perpaduan, selain dilihat sebagai peluang untuk saling memahami.

 

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar, berkata sebagai tuan rumah memang menjadi hasrat DBP untuk melihat dunia kepenyairan Malaysia dikenali di pentas ASEAN.

 

"Bentuk atau sifat puisi di negara ASEAN berbeza dengan puisi Eropah dan Amerika.

 

"Justeru amat penting kita sama-sama membina dan memelihara tradisi kita," katanya pada Majlis Pelancaran Forum Puisi & Syair ASEAN 2017 di DBP di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron.

 

Md Salleh berkata, acara yang merupakan sebahagian daripada program DiverseCity: Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 sudah tiga tahun dianjurkan dengan Mohd Khair dilantik sebagai kurator kesusasteraan.

 

"Tema Perjuangan Bangsa yang dipilih terasa amat merangkul kerana setiap negara ASEAN kecuali Thailand merasai penderitaan hidup di bawah kuasa penjajah," katanya.

 

Sementara itu, Mohd Khair berkata, tahun ini acara Forum Puisi & Syair ASEAN 2017 dibawa dengan format baharu dengan gabungan puisi moden dan tradisional.

 

"Forum yang diadakan juga ruang pendedahan persaingan global bagi menjadikan bidang persuratan dan kepenyairan sebagai wadah perjuangan membangunkan negara bangsa,"katanya..

 

 

End.

313 dibaca
Berita Harian X