Isnin, 8 Januari 2018 | 7:55am
Kupasan buku 'Fire And Fury: Inside The Trump White House'

Kepemimpinan, kesihatan jiwa Trump dipersoal

Media cetak dan elektronik dunia kini heboh memperkatakan, mengenai kesihatan mental Presiden Donald Trump, ekoran pendedahan isu ini oleh penulis, Michael Wolff dalam buku terbarunya, Fire and Fury: Inside the Trump White House.

Rumah Putih segera menolak kandungan buku ini dan menyifatkan, tulisan Wolff ini sebagai satu dongeng (complete fantasy).

Dalam temu bualnya dalam program Today NBC, Wolff menyatakan, pendapatnya mengenai Presiden Amerika Syarikat (AS) itu yang kini berusia 71 tahun - "He has lost it" (boleh ditafsirkan secara kasar sebagai bermakna "Dia dah nyanyuk").

Seorang pakar psikologi dari Yale School of Medicine, Bandy Lee, mengakui bahawa Presiden AS itu memang 'menghadapi masalah kesihatan mental.' Bercakap kepada wartawan akhbar The Guardian bagi pihak dirinya dan beberapa pakar psikologi lain, beliau menyatakan; "Kita berasa susah hati memikirkan ketidakstabilan mentalnya. Kita bukan susah hati melihatnya sebagai orang biasa. Kita susah hati kerana dia memegang jawatan Presiden."

Akhbar New York Times terbitan 30 November lalu, ada menyiarkan kandungan surat Lee kepada editor akhbar berkenaan. Beliau menyatakan, warganegara itu perlu dimaklumkan mengenai ketidakstabilan psikologi Trump dan bahaya yang timbul darinya. Lee pernah menjadi editor kepada satu kompilasi rencana ilmiah mengenai psikologi Trump yang diterbitkan pada September 2017 lalu di bawah judul, The Dangerous Case of Donald Trump.

Penyokong Trump segera menafikan dakwaan, presiden AS ini kini menghadapi masalah ketidakstabilan mental seperti dikatakan oleh beberapa pihak. Pada 5 Januari lalu, Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson yang dikatakan pernah memanggil Trump sebagai moron (bodoh) mempertahankan presidennya dengan memberitahu CNN: "Saya tidak pernah mempersoal kesihatan mentalnya. Saya tidak ada sebab mempersoalnya."

Jadi bahan ketawa

Setiausaha akhbar Trump, Sarah Huckabee Sanders, turut menolak kandungan buku Wolff itu sambil menyifatkannya, sebagai satu usaha yang memalukan dan jadi bahan ketawa (disgraceful and laughable).

Wolff dalam bukunya menyatakan, Trump sering lupa, mengulangi apa yang pernah diucapnya beberapa minit kemudian dan sudah tidak kenal lagi kawan lamanya. Disebabkan kegemarannya bertweet secara merapu dan kegagalannya bercakap dengan jelas, ada ahli Demokrat kini berusaha mendakwa (impeachment) Trump. Impeachment adalah satu prosedur yang digariskan dalam Perlembagaan AS untuk melucutkan jawatan seseorang presiden.

Trump takut diracuni

Wolff juga menyatakan dalam bukunya, Trump gemar memesan makanan daripada McDonald's kerana dia takut diracuni, menghalang pembantunya mencuit berus giginya (atas sebab yang sama) dan suka duduk di katilnya pada jam 6.30 petang untuk memakan burger keju sambil menelefon kawannya serta menonton tiga skrin televisyen pada masa yang sama.

Wolff juga menyatakan, ada pembantu Trump sendiri yang mendedahkan bahawa Presiden AS itu tidak suka membaca, menjadikannya tidak lebih daripada seorang separuh buta huruf (semi-literate).

Dalam petikannya mengenai buku Wolff ini, portal Newsweek menyatakan, bahawa keadaan mental Trump sering menjadi topik bualan dalam kalangan petugas di West Wing sejak dia memegang jawatan presiden dan menghuni Rumah Putih. Ramai petugas ini berpendapat, Trump sering berkelakuan tidak lebih daripada seorang kanak-kanak.

Bekas ketua strategis Rumah Putih, Steve Brannon, pernah menzahirkan pendapatnya bahawa ada kemungkinan besar Trump tidak akan kekal memegang jawatan presiden sehingga penghujung tempohnya. Ini boleh berlaku apabila Kongres menggugurkannya atau kabinetnya sendiri mengisytiharkan Trump tidak lagi layak (unfit) memegang jawatan itu di bawah peruntukan 25th Amendment Perlembagaan negara AS.

Mengikut akhbar Washington Post terbitan 5 Januari lalu, pasukan peguam Trump kini bersiap sedia memfailkan kes fitnah (libel) terhadap Wolff, syarikat penerbit Henry Holt & Co dan Steve Brannon. Jika kes ini diteruskan, ia akan menjadi satu kes terawal di mana keadaan mental seorang Presiden AS dibicarakan di mahkamah terbuka.

Bagi profesor dalam bidang hubungan antarabangsa di Jerman, Stephan Bierling, perkembangan mutakhir di Amerika ini amat membimbangkan. Beliau berpendapat, Trump berjaya memusnahkan kepercayaan Eropah.

Barangkali ada dalam kalangan kita yang menyangka, jika tidak kerana buku Fire and Fury tulisan Wolff ini sekarang, isu Trump dilucutkan jawatannya disebabkan keadaan mentalnya tidak akan timbul. Persepsi ini tidak tepat kerana pada 17 Ogos 2017 lalu, David Faris (dari Roosevelt University) sudah pun melontar soalan "Bolehkah 25th Amendment menggugurkan Trump dari jawatannya" dalam satu portal berita.

Di penghujung tulisan Faris membuat kesimpulan: "Lagi cepat Trump dilucutkan daripada jawatannya, lagi cepat Amerika kembali normal dan ditadbir dengan sempurna."

Kemelut kepemimpinan yang berlaku di AS ini mengingatkan saya kepada persoalan penting - apakah ciri utama seorang pemimpin negara yang boleh dijadikan contoh atau teladan? Mengikut bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Hashim Yaacob, seorang pemimpin negara itu mestilah mempunyai strategi yang boleh membawa bangsanya ke hadapan. Dia perlu sentiasa bertanya dirinya ke mana arah tuju pimpinannya itu?

Dia mesti seorang yang kreatif, berpandangan jauh dan sentiasa ingin menerokai alam baharu yang akan memberi manfaat. Penting sekali dia mesti ada pasukan petugas sekelilingnya yang jujur, bijak dan berani memberi teguran serta pendapat. Hanya pemimpin yang tidak baik, suka dikelilingi oleh orang tidak berani menegur dan memberi pendapat.

Dari kaca mata Islam, seorang pemimpin itu mestilah amanah (Surat Al-Anfal, Ayat 27). Jika sifat mulianya ini boleh diteladani oleh seluruh petugas dan pembantunya, seluruh jentera kerajaan di bawah kepemimpinannya menjadi jujur semuanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ahzab Ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah."

Pemimpin negara yang boleh mencontohi sifat Rasulullah SAW tidak akan tergelincir dari landasan kepemimpinan yang benar.

Penulis adalah Pengamal Undang-Undang dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

856 dibaca
Berita Harian X