Khamis, 4 Januari 2018 | 7:00am
- Gambar hiasan

5 komponen tangani cabaran Industri 4.0

Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0) menjadi bualan hangat bagi majoriti individu pada masa kini. Dari warung kopi ke restoran mewah, mahupun dari wakaf di pinggir jalan hinggalah ke pusat pengajian tinggi, ia dibincangkan secara ilmiah atau sekadar sembang-sembang kosong. Ada juga individu yang kurang faham Industri 4.0 tetapi berusaha bercakap mengenainya dan cuba memahaminya.

Pendedahan media massa sedikit sebanyak memberi kesedaran peri pentingnya hal ini kepada semua lapisan masyarakat. Tidak kurang juga, perasaan cemas dan takut dalam diri individu untuk menghadapinya. Hal ini menjadi lebih penting kepada mereka yang memegang jawatan bertaraf sementara atau kontrak.

Adakah keselamatan kerjaya mereka terjamin? Adakah khidmat mereka masih diperlukan oleh organisasi pada masa hadapan? Adakah kontrak kerja mereka akan disambung? Adakah kemahiran semasa mereka mencukupi untuk mendepani masa hadapan?

Inilah antara seribu satu persoalan yang menerjah minda masing-masing. Hakikatnya, tempias Industri 4.0 ini amat ketara dirasai oleh sumber manusia dan organisasi. Topik hangat ini bukan sahaja mampu memberi kesan kepada daya saing organisasi, malah boleh menyebabkan organisasi terpaksa berundur dari pasaran jika ia mengabaikannya. Ringkasnya, pelbagai impak perubahan yang akan berlaku daripada Industri 4.0 terutama sumber manusia.

Perlu sumber manusia berkemahiran tinggi

Perubahan yang berlaku akibat fenomena Industri 4.0 memerlukan sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran tinggi agar daya saing dapat diperkasakan. Sumber manusia sekarang adalah pelapis yang mewarisi pentadbiran organisasi dan negara.

Realiti hari ini menunjukkan bahawa pembangunan sumber manusia menjadi tumpuan utama organisasi dalam menangani perubahan persekitaran. Hal ini amatlah berhubung rapat dengan tuntutan keperluan Industri 4.0 yang berasaskan teknologi komputer dan pengautomatan. Sumber manusia perlu diberi pendedahan mengenai keperluan melengkapkan keupayaan diri masing-masing dalam menangani tuntutan Industri 4.0. Semua ini boleh dicapai melalui latihan dan pembangunan sumber manusia.

Pengabaian aspek latihan dan pembangunan sumber manusia, serta kurangnya kesedaran mengenai kepentingannya boleh menyebabkan organisasi bakal berdepan cabaran menangani Industri 4.0. Antara cabarannya ialah penyusutan moral dan motivasi, peningkatan pusing ganti pekerja dan masalah ketidakpuasan kerja. Semua ini menyukarkan pihak pengurusan organisasi melaksanakan strateginya dalam melaksanakan perubahan berkesan.

Ditambah pula dengan tekanan persekitaran akibat Industri 4.0 yang meliputi aspek teknologi, sosial, ekonomi dan seumpamanya, kesejahteraan dan kelangsungan organisasi serta sumber manusia pasti tergugat. Jika ia tidak ditangani dengan bijak, tekanan ini boleh menjejaskan kualiti kehidupan di tempat kerja dan juga kehidupan peribadi. Apa yang dibimbangi adalah masalah berkait sumber manusia ini boleh menyebabkan organisasi mengalami penyusutan daya saing yang akhirnya menjejaskan produktiviti organisasi khususnya dan negara amnya.

Tuntut komitmen organisasi

Cabaran Industri 4.0 seharusnya dilihat sebagai satu dimensi peralihan paradigma kepada kecekapan dan kos organisasi. Kedua-dua dimensi ini jika ditangani dengan bijak, mampu membantu organisasi mencapai kelebihan daya saingnya melalui peningkatan tahap kecekapan pengurusan operasi dan pengurangan kos secara keseluruhan.

Peralihan kepada teknologi komputer dan pengautomatan bukan sahaja membawa kepada kecekapan dan keberkesanan operasi, malah memberi impak besar terhadap keperluan sumber manusia. Peningkatan kecekapan dan pengurangan sumber manusia ini membawa kepada penjimatan kos yang drastik kepada organisasi.

Strategi dan pelaburan organisasi dalam simulasi dan realiti maya, integrasi sistem, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, rantaian bekalan, analisis data raya dan robot automasi, bakal membawa organisasi ke tahap berbeza dalam persaingan perniagaan pada masa depan.

Pencapaian jangka panjang positif Industri 4.0 ini sudah tentu memerlukan komitmen organisasi dalam latihan dan pembangunan sumber manusia. Kemahiran yang perlu diberi penekanan kepada sumber manusia meliputi lima komponen penting iaitu pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan kesejahteraan emosi.

Kelima-lima komponen ini perlu diberi perhatian oleh organisasi dalam merangka strategi menangani cabaran Industri 4.0. Antara kelima-lima aspek ini, kesejahteraan emosi dilihat sebagai komponen pelengkap yang akan menyeimbangkan tuntutan Industri 4.0 dengan keupayaan sumber manusia organisasi.

Tempias Industri 4.0 ini sudah pastinya turut membawa pelbagai bentuk emosi dalam kalangan warga kerja organisasi, terutama dari aspek keperluan khidmat mereka, keperluan kemahiran masa depan dan cabaran persekitaran organisasi. Semua ini boleh menyebabkan individu dalam organisasi mengalami konflik, stres dan akhirnya menjejaskan tahap kesihatan mereka.

Oleh itu, kesejahteraan emosi perlu juga diberi penekanan dalam strategi latihan dan pembangunan sumber manusia. Kesejahteraan emosi akan memudahkan organisasi melaksanakan perubahan dan memperkasa mental sumber manusia bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul daripada Industri 4.0. Semakin sejahtera sumber manusia akibat emosi yang stabil, semakin mapanlah organisasi menghadapi cabaran dan perubahan persekitaran.

Justeru, kesejahteraan emosi perlu dilihat sebagai senjata ampuh dalam menyahut cabaran masa kini dan perlu dibangunkan secara berterusan.

Penulis bertugas di Pusat Pengajian Pengurusan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

360 dibaca
Berita Harian X