Isnin, 1 Januari 2018 | 6:25am
GAMBAR fail, Sultan Muhammad V berkenan menerima Surat Perisytiharan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto BERNAMA

Perlembagaan wujud harmoni antara kaum

Satu usul penting yang wajar diberi perhatian ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru, ini ialah cadangan memperkenalkan mata pelajaran Kedaulatan Institusi Raja dalam institusi sekolah dan universiti. Cadangan wakil Mahasiswa Nasional, Mohamad Reeza Abdul Patah memang kena pada masanya. Malah, isu ini turut disuarakan wakil UMNO Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom yang mengaitkan pemimpin pembangkang terhadap isu mencabar kedaulatan institusi Raja-Raja.

Sekalipun pun perbahasan mereka dalam radar kepartian kerana di pentas PAU, hal ini wajar diberi perhatian. Malah, usul ini bertepatan dengan sistem pemerintahan negara, iaitu Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Apabila pemimpin muda bersuara, ia menggambarkan suatu tuntutan yang perlu diberi perhatian serius.

Jamin keharmonian

Sebenarnya, ini adalah isyarat peri pentingnya bekalan masa hadapan mereka yang inginkan suatu mekanisme baharu demi menjamin keharmonian berterusan. Sehingga kini, memang tidak wujud mata pelajaran khusus ini. Yang ada hanya sebagai subtopik silibus sejarah di sekolah, manakala di universiti pula adalah dalam kursus wajib Agensi Kelayakan Malaysia (MQA bagi Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik.

Oleh sebab Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan perkara berkaitan Raja-Raja, adalah lebih baik pelajar didedahkan terus mata pelajaran Perlembagaan Persekutuan. Bagi pelajar peringkat sekolah menengah atas boleh difokuskan kepada pentadbiran negara, manakala pada peringkat institusi pengajian tinggi pula adalah lebih menyeluruh.

Rata-rata kita menyangka Perlembagaan Persekutuan dirangka oleh Suruhanjaya Reid. Padahal, jika diteliti dari perspektif sejarah, ia terhasil daripada keringat dan idea Raja-Raja Melayu, pemimpin dan persatuan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Malah, permuafakatan politik atau dikenali juga kontrak sosial antara pemimpin pelbagai kaum inilah yang menjadi resipi perpaduan dan integrasi rakyat berbilang kaum hingga hari ini.

Di sinilah letaknya nilai kerjasama dan tolak ansur yang seharusnya dicontohi generasi akan datang. Kebijaksanaan pemimpin terdahulu begitu terserlah apabila wujud quid pro quo atau tawar-menawar berkaitan empat perkara teras, iaitu hak kerakyatan kaum bukan Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Hal ini dapat mewujudkan kesedaran bahawa Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja mempertahankan kepentingan hak penduduk asal, malah tidak mengetepikan kepentingan sah kaum lain. Semua aspek ini boleh dibincangkan secara khusus dan mendalam melalui mata pelajaran Perlembagaan.

Suatu sisi lain yang boleh ditampilkan melalui mata pelajaran ini ialah wujudnya elemen maqasid syariah dalam Perlembagaan Persekutuan. Elemen ini wujud secara maslahah demi memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Pelajar hari ini wajar diberi pendedahan kepentingan elemen ini betapa ia perlu dipertahankan demi perpaduan kaum di Malaysia. Misalnya, Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan "tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang" jika dipraktikkan setiap warganegara bukan sahaja boleh mengurangkan jenayah kejam tetapi melahirkan sifat kasih sayang sesama kita.

Pengetahuan Perlembagaan

Generasi hari ini yang dikelilingi cabaran globalisasi perlu dipasak dengan pengetahuan Perlembagaan Persekutuan. Mempelajari mata pelajaran perlembagaan bukanlah bererti kita memaksa mereka menjadi pengamal undang-undang. Memadailah sekadar memberi kesedaran sebagai warganegara ia tertakluk kepada undang-undang negara.

Sementara dalam konteks pentadbiran negara pula sekurang-kurangnya ia menyedari segala dasar yang diputuskan kerajaan pada sesuatu masa, bukan sesuka hati, tetapi tertakluk kepada Perlembagaan.

Perbahasan secara terbuka dan tindakan ungkit-mengungkit tanpa fakta sahih berkaitan perkara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dielakkan.

Memadailah peristiwa 13 Mei 1969 sebagai pengajaran terakhir kita 'berperang' yang tiada untungnya. Kita tidak mungkin sebulat suara dalam semua perkara, namun memupuk dan mengukuh perpaduan melalui mata pelajaran Perlembagaan Persekutuan adalah suatu usaha murni.

Malah jika difahami secara mendalam, mata pelajaran ini mampu menanam sifat menghormati pemimpin negara. Dalam hal ini, sejak alam persekolahan lagi mereka dididik untuk mengenali fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dan Perdana Menteri sebagai Ketua Pentadbiran. Begitulah juga dengan peruntukan berkaitan kewarganegaraan, suruhanjaya, kehakiman, kebebasan dan sebagainya yang bakal menjadi 'panduan' setelah mereka berada dalam alam masyarakat.

Jika pelajar diajar memahami Bahagian II Perkara 10 dengan baik dan dikaitkan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), mereka akan sedar prosedur yang perlu dipatuhi, sekali gus mencegah mereka daripada terjebak dengan perhimpunan haram yang boleh menggugat keselamatan negara.

Memahami Perlembagaan Persekutuan sekurang-kurangnya dapat meredakan perasaan emosi perkauman. Generasi kini kebanyakannya berada di luar 'zon penggubalan' Perlembagaan Persekutuan. Selepas mempelajari kandungan Perlembagaan Persekutuan sekurang-kurangnya dapat menyedarkan bahawa tidak ada kaum yang mendapat semua tuntutan mereka dan tidak ada kaum yang hilang segala hal mereka; itulah keadilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika selama ini, ilmu Perlembagaan Persekutuan hanya sekadar cebisan topik bagi mata pelajaran sejarah di sekolah dan kursus Pengajian Malaysia serta Hubungan Etnik di institusi pengajian tinggi, maka sudah sampai masanya pihak kerajaan memikirkan kaedah yang sesuai untuk dijadikan sebagai satu daripada mata pelajaran wajib, misalnya dilaksanakan secara kerja kursus sahaja tanpa peperiksaan akhir.

Tidak perlu lagi berdolak-dalik akan segala cadangan baik yang mampu menjadi ramuan istimewa kepada kestabilan politik dan keharmonian kaum di sini.

Penulis adalah Pensyarah Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik di UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP)

1712 dibaca
Berita Harian X