Ahad, 24 Disember 2017 | 1:05pm

AS, Israel perlu didesak ke meja rundingan

PADA 21 Disember 2017, 128 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di dalam Perhimpunan Agung PBB menerima usul resolusi untuk menolak keputusan dan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang secara bersendirian mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Hanya sembilan negara anggota yang menolak usul itu, di samping 35 negara bertindak untuk berkecuali dan 21 negara tidak menghantar wakil untuk pengundian. Ia hanya kemenangan simbolik secara moralnya kepada masyarakat antarabangsa yang menolak tindakan berat sebelah AS itu selepas Israel acap kali tidak patuh kepada undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.

Duta Besar AS ke PBB, Nikki Haley dengan bongkaknya mengatakan, bahawa keputusan itu tidak akan mengubah apa-apa pendirian AS untuk terus mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Bailtulmaqdis.

Israel hina PBB

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menghina PBB sebagai 'Rumah Penipuan' sebagai maklum balas kepada usul resolusi Perhimpunan Agung PBB. Secara realitinya, resolusi Perhimpunan Agung itu tidak bermakna kerana ia tidak ada implikasi perundangan dan tindakan yang boleh memaksa Israel mahupun AS menerima keputusan tadi. Keputusan Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai implikasi perundangan sudah diveto oleh AS Isnin lalu, dengan keputusan 14 negara menerima dan hanya AS yang wakil tetap, menolak.

Ada juga hipokrasi di dalam pendirian majoriti negara anggota PBB tadi yang boleh mengiktiraf kewujudan negara Israel tetapi hanya mengiktiraf Palestin sebagai negara anggota bersekutu PBB sahaja. Daripada 193 negara anggota PBB, 161 negara anggota mengiktiraf kewujudan negara Israel di kala dasar Solusi Dua Negara ditagih.

Sebenarnya, impak lebih besar boleh dilakukan oleh 161 negara anggota tadi untuk menarik pengiktirafan kepada Israel sekiranya mereka terus menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka. Persoalannya ialah adakah 161 negara tadi berani untuk membuat keputusan pembatalan pengiktirafan kepada kewujudan Israel itu?

Yang pasti, Malaysia lebih konsisten untuk terus tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah. Perhimpunan Solidariti yang diadakan sebelum ini mengesahkan semua lapisan masyarakat pelbagai agama dan kaum terus memberi sokongan dan menolak tindakan AS dan Israel itu.

Ini juga menunjukkan, bahawa Malaysia tidak takut akan ugutan Trump sebelum ini yang cuba menghentikan bantuan kepada negara yang menentang AS di dalam pengundian Perhimpunan Agung PBB tersebut. Yang jelas, AS akan hilang legitimasi sebagai orang tengah yang tidak ikhlas dan berat sebelah dalam proses damai menyelesaikan masalah Israel-Palestin sebelum ini.

Kini, ada desakan kuat supaya AS tidak terbabit lagi dengan proses damai atau AS hanya sebagai wakil perundingan bagi pihak Israel sahaja. China, Rusia, Perancis, dan Turki dilihat semakin tegas dalam menyatakan pendirian mereka untuk menyelesaikan krisis berpanjangan ini.

Jerman sebagai kuasa besar di Eropah dilihat tidak mampu bersuara kerana bimbang sejarah lampau pembersihan kaum ketika Perang Dunia Kedua akan dibangkit semula. Negara Arab dan Asia Barat harus merapatkan solidariti mereka menyelesaikan perselisihan sesama mereka bagi terus menekan AS dan Israel dalam memperjuangkan rakyat Palestin yang terus ditindas masa kini.

Sekali lagi realitinya, buat masa ini perundangan antarabangsa gagal menyelesaikan isu ini. Satu cara penyelesaiannya ialah dengan masyarakat antarabangsa terus menekan dan mendesak AS dan Israel untuk balik ke meja rundingan. China sekarang sedang agresif menjadi orang tengah yang baharu bagi menyelesaikan krisis ini. Ini diakui sendiri oleh Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying. Namun, diragui sejauh mana efektifnya peranan China.

Tutup jalan diplomasi

Israel dan AS sedang bersedia menutup jalan diplomasi bagi memastikan Baitulmaqdis terus menjadi ibu negara Israel seperti yang diingini. Yang jelas, hampir keseluruhan wilayah di Tebing Barat telah diduduki Israel yang membina lebih daripada 12 penempatan baharu Yahudi dan menghalau penduduk Palestin keluar dari tanah milik mereka.

Tembok pemisah juga sudah dibina yang menghalang penduduk Arab Palestin untuk mengunjungi Baitulmaqdis yang sudah dikawal ketat. Malah, pada Julai lalu, kawalan masuk ke Masjidil Aqsa dikawal ketat oleh tentera dan polis Israel. Hampir 750,000 pendatang Yahudi yang mewakili 11 peratus penduduk Israel, menduduki penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Semenanjung Gaza terus dikawal ketat seperti penjara terbuka. Penduduk Palestin terus merempat sebagai pelarian dan terus ditindas yang menyukarkan mereka hidup secara selesa dengan tanpa keganasan.

Kepemimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas juga agak lemah dalam mencari kata sepakat antarabangsa mendesak Israel daripada mengkotak-katikkan kehidupan penduduk Palestin.

Malaysia pula harus terus aktif memperjuangkan nasib Palestin ini bersama-sama negara lain secara kolektif. Sekiranya kita gagal menyelamatkan Baitulmaqdis, maka ia adalah satu malapetaka besar kepada bukan sahaja rakyat Malaysia, malah dunia keseluruhannya.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

391 dibaca
Berita Harian X