Khamis, 21 Disember 2017 | 9:21am

Fahami perkataan agama dalam Perlembagaan

MASYARAKAT Malaysia amat menyedari mengenai kepentingan dan sensitiviti agama. Agama antara perkara utama yang mendapat perhatian dalam negara sejak dahulu lagi. Justeru, perundangan negara juga mengambil berat perkara berkaitan agama. Perlembagaan Persekutuan memberikan perhatian sewajarnya mengenai kedudukan agama dan hal-hal berkaitan agama terutama kebebasan beragama.

Namun, kesedaran mengenai kepentingan perkara ini menjadikan agama sebagai suatu subjek yang begitu sukar untuk diurus. Ia juga menjadi begitu sukar untuk dibahaskan atau dibincangkan secara terbuka.

p

Pada dekad terakhir ini keadaan menjadi lebih terbuka. Ramai yang membahaskan mengenai hal berkaitan agama. Walaupun begitu, kita belum lagi didedahkan dengan tafsiran perundangan terperinci mengenai apakah yang dimaksudkan dengan perkataan 'agama' dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jaminan kebebasan beragama adalah antara peruntukan Perlembagaan yang menjadi tajuk fokal dalam mentafsir perkataan 'agama.'

Peruntukan berkaitan kebebasan beragama dimuatkan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Untuk rujukan dan memudahkan pembaca, saya petik peruntukan terbabit dalam versi bahasa Inggeris kerana ia rujukan mengikat.

11. Freedom of religion

(1) Every person has the right to profess and practise his religion and, subject to Clause (4), to propagate it.

(2) No person shall be compelled to pay any tax the proceeds of which are specially allocated in whole or in part for the purposes of a religion other than his own.

(3) Every religious group has the right-

(a) to manage its own religious affairs;

(b) to establish and maintain institutions for religious or charitable purposes; and

(c) to acquire and own property and hold and administer it in accordance with law.

(4) State law and in respect of the Federal Territories of Kuala Lumpur, Labuan and Putrajaya, federal law may control or restrict the propagation of any religious doctrine or belief among persons professing the religion of Islam.

(5) This Article does not authorize any act contrary to any general law relating to public order, public health or morality.

Perkara 11 ini satu peruntukan di bawah Bab II Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bab berkaitan kebebasan asasi. Ia menjamin kebebasan beragama kepada semua orang, tidak mengira keturunan atau kewarganegaraan. Kebebasan beragama dalam Perkara 11 ini juga berkaitan kebebasan kumpulan agama yang berhak melaksanakan hak-hak berkaitan agamanya atau membuat apa-apa aktiviti keagamaan serta mempunyai hak memiliki dan mentadbir harta berlandaskan undang-undang.

Menurut Perkara 11(1), kebebasan beragama yang dimaksudkan ialah kebebasan untuk menganut dan mengamalkan agama serta kebebasan mengembangkan agama. Walaupun begitu, kebebasan mengembangkan doktrin agama atau kepercayaan dalam kalangan orang Islam boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri.

Perkara 11(5)

Sementara itu, Perkara 11(5) pula meletakkan aspek yang boleh menjadi sekatan kepada kebebasan beragama.

Perkataan 'agama' dalam Perkara 11 ini tidak dihuraikan maksudnya oleh undang-undang, sama ada Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang lain. Justeru, kekosongan ini membuka ruang perbincangan dalam masyarakat kita.

Secara umumnya, perkataan agama (secara umum, bukan merujuk kepada agama Islam) bukan sahaja didapati dalam Perkara 11. Banyak Perkara lain dalam Perlembagaan menyebut perkataan 'agama.' Sebagai contoh, perkataan 'agama' digunakan dalam Perkara-Perkara 3, 8, 12, 38(2)(b), 38(6)(d), 150(6A), 161E(2)(d), Jadual Kelima, Butiran 7 dan Jadual Kelapan, Bhg I, Butiran-Butiran 1(2)(c) dan 19(6)(c).

Merujuk kepada Kamus Dewan, perkataan 'agama' bermaksud "1. kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintahNya, percaya pada yang Maha Kuasa; - Islam, - Kristian... 2. Kepercayaan pada sesuatu dewa dan lain-lain (yang dipuja dan sebagainya dan dianggap sebagai sesuatu yang amat berkuasa".

Maksud yang diberikan oleh Kamus Dewan ini boleh dianggap suatu tafsiran tradisional dan tafsiran yang diterima dalam pandang alam masyarakat Malaysia sehingga kini. Saya mencadangkan supaya maksud perkataan 'agama' seperti dinyatakan dalam Kamus Dewan ini sebagai panduan untuk mentafsir perkataan 'agama' dalam Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang lain.

Nota Senarai Perkara

Apabila meneliti dokumen sejarah Perlembagaan, saya tidak menjumpai secara harfiah mengenai niat atau hasrat mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam proses gubalan Perlembagaan tentang tafsiran atau skop perkataan 'agama.' Apa yang saya temui hanya beberapa ciri kebebasan beragama yang dicadangkan. Sebagai contoh, dalam Nota Senarai Perkara yang dihujahkan oleh Raja-Raja melalui Memorandum Majlis Raja-Raja kepada Suruhanjaya Reid ialah kenyataan berikut:

"There should be a chapter in the draft on constitutional guarantees ensuring freedom of worship and freedom to profess, practice and propagate the religion...."

Ringkasnya, kenyataan ini menggambarkan kebebasan beragama bermaksud kebebasan untuk beribadat. Namun, perkataan 'beribadat' atau 'worship' tiada dalam Perkara 11.

Namun, dengan mengambil pendekatan implikasi dan originalist - merujuk kepada sejarah peruntukan berkaitan dan pandang alam tempatan. Mengambil kira sejarah gubalan dan pandang alam tempatan, maksud perkataan 'agama' dalam Perlembagaan ialah suatu ajaran atau kepercayaan yang mempunyai ritual, atau amalan ibadat serta meletakkan Tuhan atau dewa sebagai elemen penting sebuah 'agama.'

Saya lebih cenderung untuk menggunakan pendekatan originalist dalam mentafsir peruntukan Perlembagaan kerana ia lebih stabil berbanding pendekatan lain. Tafsiran undang-undang yang disokong oleh sejarah dan keadaan sosial tempatan adalah lebih berkesan berbanding pendekatan lain.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

323 dibaca
Berita Harian X