Ahad, 13 Ogos 2017 | 6:54am
PEMAIN badminton lelaki perserangan negara Datuk Lee Chong ketika sesi latihan persiapan ke Kejohanan Dunia Glasgow, Scotland di Akademi Badminton Malaysia. - Foto Owee Ah Chun

Tiada ruang buat silap jika mahu jadi juara

BERBAKI lapan hari sebelum Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland bermula, fokus utama saya sudah pastinya persiapan bagi menghadapi kejohanan berkenaan dengan misi saya adalah memburu gelaran juara dunia pertama.

Seperti semua sudah sedia maklum, undian untuk Kejohanan Dunia kali ini sudah keluar. Siapa lawan dan bakal menjadi lawan sudah diketahui.

Ramai menganggap undian kali ini agak sukar untuk saya, namun pendirian saya berbeza. Tidak dinafikan, tuah undian juga boleh memainkan peranan dalam memacu kejayaan seseorang pemain itu dalam setiap kejohanan disertai. Namun, ini adalah Kejohanan Dunia dan bagi saya semua lawan yang perlu hadapi adalah sukar.

Walaupun atas kertas nampak memihak kepada diri kita, namun kejutan sentiasa berlaku apatah lagi ini adalah kejohanan utama. Pemain yang layak dalam kejohanan ini adalah berdasarkan kepada merit dan sudah pasti masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Jadi, sesiapapun lawan yang kita hadapi, mereka tetap ancaman besar buat kita.

Tidak perlu menunggu undian sekalipun, Kejohanan Dunia kali ini memang saya anggap yang paling sukar buat diri saya.

Laluan getir bermula pada pusingan suku akhir

Kali ini, ada empat pemain China yang layak beraksi iaitu Lin Dan, Chen Long, Tian Houwei dan Shi Yuqi. Berdasarkan undian yang saya terima, saya dijangka berdepan tiga pemain China sebelum boleh merangkul gelaran juara dunia.

Chen Long dijangka menanti saya jika layak ke suku akhir tetapi sebelum itu saya perlu melepasi halangan seorang lagi pemain China, Tian Houwei.

Jika berjaya melepasi halangan dua pemain lawan itu, saya dijangka bertemu pilihan ketiga dari Denmark, Viktor Axelsen sebelum berdepan Lin Dan jika layak ke perlawanan penentuan kejuaraan.

Melihat kepada undian ini, saya tahu ramai yang anggap sukar tetapi untuk menjadi juara dunia, saya perlu 'langgar' semua halangan.

Saya tiada pilihan selain menerima hakikat ini. Saya tidak boleh mengubah keputusan undian. Saya sudah beberapa kali gagal di pentas final Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, jadi kali ini saya tidak rugi apa-apa untuk terus mencuba.

Tidak guna saya terlalu memikirkan mengenai undian ini. Cukup saya sudah mengetahui siapa yang bakal menjadi lawan saya. Fokus kini adalah mempersiapkan diri.

Saya bersyukur kerana saya akan dibantu dua jurulatih berkaliber, Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan. Mereka bukan calang-calang jurulatih, masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri.

Mahu jadi atlet yang turut bergelar juara dunia

Saya harap kombinasi mereka mampu membantu saya merealisasikan impian yang selama ini saya idamkan. Saya tahu ia bukan mudah tetapi berbekalkan prinsip tidak akan mengalah sebelum berjuang, saya akan berikan yang terbaik.

Selepas empat atlet negara menempa kejayaan di kejohanan dunia bermula jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang, dua atlet olahraga paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta atlet terjun, Cheong Jun Hoong, saya juga tidak mahu ketinggalan untuk meletakkan nama sebagai atlet yang bergelar juara dunia.

Apa yang dicapai oleh beberapa atlet negara baru-baru ini (apabila muncul sebagai juara dunia) sememangnya meningkatkan lagi motivasi saya.

Mereka memberi inspirasi kepada saya untuk turut melakar kejayaan. Namun, pada masa sama, ia memberi tekanan juga kepada saya tetapi saya perlu atasinya... ini perkara biasa, jika tidak bagaimana mahu jadi pemain utama dunia.

Saya akan berlepas ke Glasgow awal pagi Rabu ini bersama pemain negara yang lain termasuk beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Low Juan Shen-Chooi Kah Ming dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Ketibaan awal beri masa buat persediaan terbaik

Apa yang pasti, saya tidak berseorangan memikul tanggungjawab bagi memastikan Malaysia memiliki juara dunia dalam sukan badminton.

Saya menaruh keyakinan bahawa, V Shem-Wee Kiong turut mempunyai peluang bagi menjadi juara selepas kerja keras mereka sepanjang sesi latihan.

Saya sendiri dapat lihat betapa mereka turut mahu melakar kejayaan di Kejohanan Dunia kali ini bagi membuktikan status mereka sebagai pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016.

Saya harap, ketibaan kami awal lima hari di Glasgow sebelum kejohanan bermula dapat memberi kami masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan gelanggang kejohanan.

Ia penting kerana kejohanan besar seperti ini tiada ruang untuk kita membuat silap sejak pusingan pertama lagi. Untuk semua peminat sukan tempatan khususnya badminton, saya memohon doa anda semua agar saya dan pemain Malaysia yang lain mampu menempa kejayaan di Glasgow.

Penulis: Pemain badminton nombor dua dunia

Berita Harian X