Sabtu, 15 September 2018 | 11:00am
MUKTAMAR PAS Ke-63 dijangka memberi fokus kepada isu kerjasama politik dengan UMNO.- Foto Ghazali Kori

Kerjasama UMNO, PAS patut manfaat rakyat semua kaum

POLEMIK kerjasama politik UMNO dan PAS bukanlah perkara baharu. Isu ini tenggelam timbul tetapi tidak pernah hilang daripada radar politik di negara. UMNO dan PAS pernah bekerjasama dalam kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969.

Kerjasama itu diperkukuhkan lagi dengan kemasukan PAS ke dalam Barisan Nasional (BN). Selepas menang 14 kerusi Parlimen dalam PRU 1974, pemimpin PAS diberikan jawatan dalam Kabinet dan beberapa portfolio penting dalam kerajaan.

Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda dilantik sebagai Menteri Tanah, Galian dan Tugas-Tugas Khas, manakala Allahyarham Yusuf Rawa diamanahkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran.

Kerjasama UMNO dan PAS tidak dapat dikekalkan dan akhirnya PAS dikeluarkan daripada BN pada 1978. Banyak faktor menyumbang kepada perpecahan ini.

Menurut Datuk Mustafa Ali, iaitu pemimpin PAS yang paling berpengalaman dalam kerjasama ini, persaingan UMNO dan PAS dalam mengumpulkan pengaruh orang Melayu sudah menyebabkan pertelingkahan di antara mereka.

Meskipun pada awalnya, kedua-dua buah parti ini bekerjasama untuk memperjuangkan kuasa politik Melayu, tetapi persaingan sama sendiri mengakibatkan kerjasama terhenti. Hal ini, dapat difahami kerana latar sokongan UMNO dan PAS adalah sama, iaitu orang Melayu-Islam.

Bantu ketika lemah

Kerjasama UMNO dan PAS sering berlaku apabila sokongan rakyat terhadap UMNO merosot. Dalam kata lain, kerjasama ini jarang berlaku ketika UMNO kuat. Oleh sebab itu jugalah, ada segelintir ahli PAS yang masih ragu-ragu dengan kerjasama ini kerana bagi mereka, UMNO tetap lawan.

Bagi PAS, bekerjasama atau tidak, parti itu tetap meneruskan survivalnya. Buktinya, tanpa kerjasama politik, PAS berjaya mengekalkan Kelantan dan merampas Terengganu dalam PRU-14. Hanya bergerak bersendirian dengan sedikit sokongan parti kecil seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), PAS memperoleh 18 kerusi Parlimen.

Kemunculan semula kerjasama UMNO dan PAS selepas PRU-14 atas nama ‘taawun siyasi’ atau persefahaman politik, membuka kembali cerita lama. Akan tetapi, kerjasama kali ini nampak lebih serius dan terzahir, bukan lagi dibuat secara sembunyi-sembunyi.

Kerjasama dalam bentuk pakatan pilihan raya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dan Seri Setia memperlihatkan pemimpin UMNO dan PAS duduk semeja untuk menyatukan suara pembangkang melalui kekuatan politik Melayu-Islam.

Walaupun kerjasama ini masih dilihat gagal mengatasi kekuatan calon Pakatan Harapan, UMNO dan PAS dilihat masih berminat untuk meneruskannya dalam PRK Port Dickson akan datang.

Muktamar PAS Ke-63 yang bermula semalam dijangka memberi fokus kepada isu kerjasama politik dengan UMNO. Kebiasaannya, isu utama yang memerlukan keputusan bersama, akan diputuskan dalam muktamar dan kemudian dimuktamadkan oleh Majlis Syura UIama.

Tiada tentangan

Kita tidak menjangka akan timbul banyak persoalan atau tentangan kerana kerjasama ini dilihat sangat relevan dalam menyatukan suara politik Melayu-Islam masa kini.

UMNO pula dilihat pihak yang lebih bersungguh-sungguh mahu berdamai dengan PAS. Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin utama parti dilaporkan akan hadir ke Muktamar PAS kali ini.

Ketika PAS memulakan kerjasama dengan pakatan pembangkang pada 1998 dengan nama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat (PR), nada dalam ucapan pemimpin parti dalam muktamar sangat optimistik terhadap persefahaman politik.

Ketika itu, PAS meminggirkan soal perbezaannya dengan parti lain, terutama DAP kerana perjuangan utama ialah menegakkan keadilan dan kemanusiaan. Agenda bersama lebih diutamakan, berbanding agenda peribadi.

Justeru, nada seumpama ini boleh dihayati dalam menjalinkan persefahaman politik antara PAS dan UMNO demi menjaga kepentingan agama Islam dan memperkukuhkan kedudukan umat Islam di negara ini. Agenda ini juga tidak sepatutnya diragukan kerana ia bukanlah mengambil hak dan kepentingan kumpulan bukan Islam di negara.

Banyak pihak berharap agar kerjasama UMNO dan PAS ini bukan sekadar pakatan pilihan raya. Dalam kata lain, hanya berkawan ketika pilihan raya. Sebaliknya, kerjasama ini perlu diteruskan melangkaui pilihan raya dan mempunyai agenda besar yang konkrit dan berterusan.

Bekerjasama tidak semestinya bergabung menjadi satu entiti, tetapi berstrategi untuk kepentingan bersama dengan semangat keikhlasan dan kejujuran yang tinggi.

Meskipun perspektif politik Malaysia Baharu menjulang nilai yang lebih universal dan terbuka, tidak dinafikan bahawa faktor agama dan etnik masih penting dalam politik di Malaysia. Politik orang Melayu, khususnya di luar bandar secara umumnya masih lagi konservatif. Mereka masih lagi berpegang dan percaya kepada nilai agama dan tradisi.

Di Indonesia, Presiden Jokowi Widodo memilih tokoh agama atau Islamis sebagai calon wakil Presiden dalam Pemilihan Umum 2019. Gandingan nasionalis dan Islamis menjadi pilihan Jokowi untuk mengekalkan kepemimpinannya. Cerita ini mirip dengan kerjasama yang berlaku di antara UMNO dan PAS.

Sokongan bukan Melayu tak boleh diketepikan

Bagaimanapun, dalam usaha memperkuat suara politik Melayu-Islam, kerjasama UMNO dan PAS perlu juga melihat sokongan bukan Melayu. Kumpulan bukan Melayu tidak boleh diketepikan kerana sokongan mereka juga penting bagi memenangi pilihan raya dan menubuhkan kerajaan. Imej ultra Melayu-Islam dalam kerjasama UMNO dan PAS tidak wajar menimbulkan kegerunan parti bukan Melayu untuk bersama-sama mereka.

Lumrah dalam bekerjasama, ada yang kekal dan ada yang bercerai. UMNO dan PAS perlu membuktikan kerjasama ini boleh diteruskan sekurang-kurangnya sehingga berlangsungnya PRU-15 nanti. Kedudukan UMNO dan PAS sebagai parti pembangkang memudahkan kerjasama politik berbanding sebelum ini.

Paling penting, kerjasama ini tidak hanya bermain emosi dan sentimen, tetapi mempunyai agenda besar tersusun dan bertulis untuk kebaikan Melayu-Islam khususnya dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Agenda ini, termasuk meningkatkan keadilan sosial dan menjadikan orang Melayu maju dalam pemikiran, mampu bersaing dan mandiri.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

266 dibaca
Berita Harian X