Jumaat, 14 September 2018 | 11:00am
PRK DUN Balakong dan Seri Setia minggu lalu mencatatkan peratusan keluar mengundi paling rendah dalam sejarah PRK negara. - Foto hiasan

PRK: SPR perlu cari pendekatan tingkat peratusan mengundi

MUNGKINKAH pengundi sudah muak berpolitik sepanjang masa apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan DUN Seri Setia minggu lalu mencatatkan peratusan keluar mengundi paling rendah dalam sejarah PRK negara ini?

Ini berdasarkan kepada angka peratusan pemilih keluar mengundi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunjukkan PRK DUN Balakong merekodkan peratusan iaitu 43 peratus, iaitu paling terendah, diikuti DUN Seri Setia sebanyak 44 peratus. PRK pertama selepas PRU-14 iaitu DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu juga rendah iaitu 49.4 peratus, jauh daripada angka sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum PRU-14, peratusan keluar mengundi terendah dicatatkan pada PRK DUN Penanti pada 2009 iaitu 46 peratus.

Walaupun tempoh berkempen selama 21 hari ditetapkan SPR, namun tempoh masa yang panjang itu kelihatan tidak mampu menarik atau memberi galakan kepada pengundi untuk keluar beramai-ramai menunaikan hak memilih wakil rakyat baharu.

Atau adakah rakyat sudah terlalu lama disajikan dengan kemelut politik yang panjang ketika PRK-14 sehingga tiga PRK - Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia - tidak lagi dijadikan tumpuan, sebaiknya masa untuk membina Malaysia Baharu?

Juga, jika benarlah ketiga-tiga PRK ini penting sebagai medan rakyat memprotes kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal menunaikan janji dalam tempoh pemerintahan 100 hari seperti terkandung dalam manifesto PRU-14, sudah pasti ramai yang turun mengundi untuk membuktikan mereka menolak kerajaan berusia empat bulan itu, bukannya berdiam diri tanda tidak puas hati.

Belum capai matlamat

Hasrat untuk melihat lebih ramai ahli UMNO keluar mengundi sebagai bukti sokongan kepada PAS, juga dilihat gagal dicapai kerana walaupun undi PAS meningkat, namun ia bukan gambaran sebenar kerjasama yang baru bermula itu mencapai matlamat sebenar.

Dalam tempoh empat bulan PH memerintah selepas memenangi PRU-14 pada 9 Mei lalu, pastinya rakyat mahu kerajaan menunaikan janji, komited menyelesaikan masalah rakyat, merapatkan jurang pendapatan, memulihkan ekonomi dan memajukan negara, bukannya berpolitik sepanjang masa.

Bagi bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, beliau sudah menjangkakan akan berlaku kemerosotan pengundi keluar mengundi di DUN Balakong dan DUN Seri Setia selepas melihat trend keluar mengundi yang perlahan sejak pusat mengundi dibuka jam 8 pagi.

Ini berdasarkan pengalaman beliau bahawa pergerakan keluar mengundi akan menjadi semakin perlahan menjelang petang berbanding sebelah pagi, kecuali jika SPR membuat operasi besar-besaran memanggil pengundi.

Jika PRK dilihat sebagai medan untuk meningkatkan kerjasama parti politik, ia gagal direalisasikan dengan mengambil kira keputusan ketiga-tiga PRK berkenaan.

Kerjasama di antara PAS dan UMNO misalnya masih belum mencapai matlamat. Ini diakui sendiri bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang menyifatkan jalinan kerjasama antara UMNO dan PAS gagal meraih sokongan pengundi.

Malah, katanya ‘perkahwinan’ itu tidak mencapai matlamat yang disasarkan selepas kalah dalam ketiga-tiga PRK yang berlangsung selepas PRU-14.

Lain pula cerita calon PAS di PRK DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali yang yakin PAS boleh menang sekiranya lebih ramai pemimpin UMNO turun membantu kempen. Ini seolah-olah mengheret lebih banyak persoalan, apakah kerjasama UMNO-PAS sebenarnya masih lesu, tidak matang atau tidak langsung memikat pengundi.

Pada pihak SPR pula terletak tanggungjawab besar untuk membuat penilaian semula sama ada tempoh berkempen yang panjang 21 hari bagi sesuatu pilihan raya masih lagi sesuai.

Kempen terpanjang dalam sejarah

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata SPR mendapat pelbagai reaksi selepas PKR DUN Balakong dan Seri Setia diadakan serentak dan buat pertama kali melalui tempoh kempen terpanjang dalam sejarah.

Ada pemerhati politik berpendapat, PRK tidak lagi relevan dan mencadangkan supaya wakil rakyat, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen yang meninggal dunia atau hilang kelayakan digantikan dengan wakil parti diwakilinya.

Ini disebabkan kos mengendalikan PRK terlalu tinggi. Misalnya, DUN Balakong dan DUN Seri Setia saja mencapai RM3 juta, jumlah yang boleh digunakan bagi tujuan lain demi manfaat rakyat.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga ehwal undang-undang, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata tidak sepatutnya PRK dimansuhkan hanya kerana mahu menjimatkan perbelanjaan kerana proses demokrasi tidak boleh dibandingkan dengan wang ringgit.

Katanya, mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, namun ia tidak perlu diadakan jika tempoh kurang dua tahun sebelum berakhir tempoh penggal pilihan raya.

“PRK wajar diteruskan kerana bertepatan Perlembagaan Persekutuan. Hormatilah Perlembagaan dan teruskan PRK selagi tiada pindaan undang-undang untuk memansuhkannya diputuskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Bagi Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, cadangan supaya wakil rakyat, sama ada ADUN atau Ahli Parlimen yang meninggal dunia atau hilang kelayakan digantikan dengan wakil parti diwakilinya tidak wajar dilaksanakan.

Ini disebabkan, katanya, seseorang ADUN atau Ahli Parlimen dipilih rakyat dan ada antara mereka memenangi pilihan raya atas faktor pengaruh calon, bukan parti politik diwakilinya.

Beliau berkata, keadaan menjadi rumit sekiranya kerusi kosong berkenaan membabitkan wakil rakyat yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket Bebas.

“PRK wajar diteruskan serta tidak boleh sewenang-wenangnya kerusi kosong diisi dengan individu lain sekiranya berlaku kematian atau hilang kelayakan seseorang ‘Yang Berhormat’ (YB), tidak kira mereka dalam kalangan ADUN atau Ahli Parlimen,” katanya.

Justeru, SPR dan parti politik perlu mengamalkan pendekatan bijak dalam menarik perhatian pengundi untuk keluar mengundi, selain mencari mekanisme lebih berkesan untuk memastikan rakyat tidak bosan berpolitik sepanjang masa.

91 dibaca
Berita Harian X