Rabu, 10 Januari 2018 | 8:10am
TUN Dr Mahathir Mohamad.- Foto Reuters

Senjata pembangkang makan tuan

TIADA siapa menjangka tetapi itulah realiti politik. Pengumuman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Ahad lalu, menggelorakan lagi gelombang politik negara.

Pengumuman ini sekurang-kurangnya mengundang beberapa polemik dan implikasi. Pertama, pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dilihat menafikan hak dan peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu-satunya calon jawatan nombor satu negara itu.

Sejak gerakan reformasi berlangsung pada 1998, Anwar diuaruarkan sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri. Persoalannya, apakah Dr Mahathir sanggup bekerjasama dengan Anwar selepas beliau dibebaskan Jun depan atau ada kemungkinan Dr Mahathir tidak akan melepaskan jawatan itu.

Perlu diingatkan, Dr Mahathir juga mempunyai pilihan meletakkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz untuk menggantikan beliau. Pemilihan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, membangkitkan bantahan akar umbi khususnya penyokong tegar reformasi. Selain itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sangat kecewa dengan pencalonan itu dan menyifatkan ia hal yang malang dan kejam apabila partinya bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Sebaliknya, beliau pernah mencadangkan dalam konvensyen pakatan pembangkang agar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diangkat calon Perdana Menteri dan Dr Mahathir sekadar menteri kanan.

Kedua, pencalonan Dr Mahathir membuktikan tidak ada seorang pun pemimpin parti pembangkang layak diangkat menjadi Perdana Menteri, selain Anwar. Perkara ini sangat memalukan lebih-lebih lagi mereka terpaksa menggunakan pengaruh dan populariti Dr Mahathir untuk berdepan parti pemerintah.

Ia juga membuktikan parti pembangkang gagal menawarkan kepemimpinan baharu, sebaliknya masih bergantung kepada pemimpin lama. Ketiga, banyak pihak bertanya, di manakah kedudukan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Calon lebih sesuai

Beliau yang pernah dilantik Timbalan Perdana Menteri dilihat calon lebih sesuai diangkat sebagai calon Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri. Apakah kepemimpinan Muhyiddin ditolak semata-mata beliau pernah memujuk PAS menyertai pakatan pembangkang?

Selain itu, kita tidak harus melupakan dominasi DAP dalam pakatan pembangkang. Nama besar

DAP sememangnya tidak disenaraikan bagi jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bagi mengelak isu dan sentimen Melayu/Islam di negara, namun penguasaan parti itu tidak boleh dipandang rendah.

Berdasarkan pengagihan kerusi Parlimen dalam PRU-14, DAP dijangka mendapat kelebihan jumlah kerusi tertinggi, termasuk di Sabah dan Sarawak. DAP pastinya menuntut kerusi Parlimen yang besar berasaskan pencapaian mereka dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Melihat kepada senario semasa ini, jelas pembangkang sangat teruja berdepan PRU-14. Strategi demi strategi diumumkan, mungkinkah ia umpama senjata makan tuan? Kita tunggu dan lihat.

Penulis ialah Prof Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu, Majlis Profesor Negara (MPN)

4493 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »