Rabu, 20 Disember 2017 | 10:10am
BN perlu peka dengan kehendak generasi muda agar parti terus relevan. - Foto hiasan

Manfaat media sosial jana persepsi baik pengundi muda

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal datang bukan setakat menguji soal survival parti UMNO, MIC, MCA dan GERAKAN serta komponen lain, tetapi melihat strategi mereka yang bakal meraih mandat yang besar. Soal mempertahankan legasi Barisan Nasional (BN) itu penting di PRU-14, malah perlu memberi lebih keyakinan berbanding PRU sebelum ini.

Persoalan penting perlu dititikberat ialah pembinaan persepsi orang muda terhadap UMNO dan parti komponen yang lain seperti MCA, MIC serta GERAKAN. BN wajar menyelami bagaimana orang muda melihat kedudukan BN dan parti komponen lain kerana mereka masih kurang pemahaman berhubung kedudukan UMNO dan parti komponen lain, walhal ia sejarah pembentukan negara.

Orang muda lebih cenderung melihat isu berbangkit sebelum PRU-14 berbanding manfaat dihulurkan oleh pihak kerajaan terhadap pembangunan sosioekonomi rakyat. Pemahaman berhubung kedudukan UMNO sebagai parti tunggak kepada parti komponen BN yang lain di dalam menjaga kepentingan semua kaum lain, termasuk Melayu dan bukan Melayu perlu difahami oleh golongan ini.

Kedudukan UMNO perlu dijelaskan kepada generasi muda bagaimana ia berdiri teguh dan utuh sebagai parti Melayu yang besar selama 71 tahun serta masih memerintah dan mengepalai parti komponen lain. Sekiranya struktur UMNO ini gelabah pada peringkat akar umbi, maka keseluruhan rangka strategi pembangunan parti komponen lain juga akan terjejas.

Hari ini, generasi muda atau pengundi muda merangkumi lebih 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini. Kedudukan mereka agak sukar dikenal pasti, sama ada sokongan golongan ini berpihak kepada parti kerajaan mahupun pembangkang. Mereka lebih cenderung berada di atas pagar dan selalunya akan membuat keputusan berhubung status serta keadaan isu semasa.

Pendekatan kini yang digunakan oleh kerajaan BN bagi menarik sokongan generasi muda ialah penggunaan media sosial dan strategi ini sama seperti dipraktikkan hampir semua parti komponen BN dan juga ahli politik sejak PRU-13.

Namun, rasionalnya ia perlu lebih daripada itu. Calon politik perlu memastikan mereka mempunyai hampir keseluruhan platform media sosial sehingga ke satu tahap, mungkin mereka beranggapan akan ketinggalan sekiranya tidak menggunakan aplikasi berkenaan.

Persoalannya, sejauh mana calon PRU-14 mampu bersedia mengguna pakai semua aplikasi ini bagi meraih sokongan. Rekod World Internet Stats menunjukkan, 24.5 juta penduduk kita adalah pengguna internet dan 19 juta adalah pengguna Facebook (FB). Maka, penyaluran maklumat akan lebih kepada platform media sosial, iaitu dari segi aspek penonjolan calon dan juga aktiviti kempen PRU-14.

'Facebook election'

Justeru, tidak hairan PRU-14 akan lebih berbentuk facebook election memandangkan populariti FB amat tinggi berbanding media sosial lain seperti Twitter dan Instagram.

Isu semasa yang memerlukan penjelasan umum oleh pengundi perlu diselesaikan segera dan juga perlu diuar-uarkan di media sosial supaya tidak wujud persepsi negatif berpanjangan. Ahli politik perlu menjawab fitnah atau berita palsu yang berleluasa bagi membetulkan keadaan dan jangan membiarkan ia menjadi persepsi yang buruk.

Malah, media sosial pada hari ini, turut berperanan penting dalam menjana persepsi imej sesuatu parti dan ahli politiknya. Ia lebih menjurus menjana persepsi yang tidak baik apabila medium berkenaan dikongsi banyak kali oleh netizen. Kerajaan BN harus mengguna pakai medium sedia ada, iaitu media tradisional (cetak dan penyiaran) yang kini pada satu tahap sudah pun mampu menggunakan teknologi interaktif dalam menyampaikan berita semasa. Kebanyakan media arus perdana pada hari ini, menggunakan aplikasi interaktif dalam menyalurkan berita dan ia lebih digemari pengundi muda.

Walaupun dijangkakan PRU-14 mungkin menyaksikan jumlah undi berpecah mengikut beberapa kelompok parti, ada perbezaan dalam fokus penilaian antara pengundi muda di bandar dan luar bandar. Pengundi muda luar bandar lebih fokus kepada isu tempatan seperti bantuan kepada nelayan dan petani, manakala pengundi muda bandar pula fokus isu nasional atau semasa, membuat pemerhatian pentadbiran negara, isu ekonomi serta dasar luar negara.

Jelas, generasi muda ini mempunyai sokongan berbeza antara satu sama lain dan mereka akan tentukan detik mengundi nanti. Mereka tidak mempunyai sokongan yang satu, tetapi pelbagai sokongan. Maka usaha pembinaan persepsi yang baik tidak harus fokus kepada generasi muda Melayu sahaja, tetapi juga pada orang muda Cina dan India. Bagaimana mereka melihat parti yang mewakili kaum masing-masing. BN perlu terus mendekati dan memahami pengundi muda kaum lain jika hendak menang semula di kawasan pernah kalah.

BN perlu terus adakan pelbagai program mendekati orang muda walaupun di kawasan majoritinya pengundi berbilang bangsa. Mereka harus didekati kerana kategori umur mereka lebih banyak bersandarkan emosi dalam membuat pilihan dan perlu dibimbing ke arah demokrasi yang sihat dalam membentuk kerajaan berwibawa.

Calon muda

Datuk Seri Najib Razak mengambil kira faktor barisan calon muda yang mampu melahirkan pemimpin yang boleh menyahut cabaran akan datang. Legasi BN perlu diteruskan di mana konsensus antara semua kaum perlu dikekalkan. Tindakan bijak sekiranya pendekatan kombinasi calon muda dan calon berpengalaman diletakkan di satu barisan untuk hadapi PRU-14.

Muka baharu mampu menonjolkan wujudnya perubahan dalam parti atau kata lain, rebuilt the image yang boleh mengurangkan impak negatif. Isu berhubung pembangunan rakyat memang patut dibangkitkan dan tidak perlu bermain politik seperti konvensyen pembangkang kerana rakyat sudah muak mendengar agenda permainan politik.

Sebaliknya, mereka mahu melihat kerajaan yang mempunyai agenda jelas untuk mengukuhkan sosioekonomi rakyat dan negara, sekali gus memantapkan persediaan PRU-14.

Penulis adalah Penganalisis Politik/Media Sosial Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Shah Alam

497 dibaca
Berita Harian X