Selasa, 19 Disember 2017 | 12:06pm

PRU-14: Muka lama, pengundi atas pagar

SATU halangan besar terpaksa dihadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun depan ialah 'memaksa' warload atau muka lama yang sudah empat atau lima penggal menjadi wakil rakyat, supaya memberi laluan kepada muka baharu.

Isu ini tidak begitu meruncingkan di sebelah pembangkang, tetapi agak merisaukan bagi sesetengah parti komponen BN, termasuk UMNO. Lebih merisaukan ialah sesetengah bekas wakil rakyat, masih mahu mencuba nasib untuk dipilih semula sebagai calon, jadi calon 'recycle'.

Tidak menjadi masalah bagi muka lama dicalonkan semula, termasuk bekas wakil rakyat, asalkan mereka muncul sebagai calon likeable dan winnable. Dalam keadaan PRU-14 dianggap sebagai 'ibu atau bapa' segala pilihan raya, maka BN juga perlu membuat pemilihan calon secara rapi, supaya tidak memperjudikan kerusi boleh menang, jadi kalah dan mengurangkan jumlah kerusi dimenangi parti, semata-mata kerana salah pilih calon.

Tetapi de facto Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memahami hakikat ini dan memberitahu bahawa Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak merangkap Pengerusi BN ada kaedah tersendiri untuk menggunakan metodologi pemilihan baharu.

"Jika ada nama yang sudah dikemukakan tetapi tidak berada pada tahap penerimaan tertentu, maka kita meminta sebuah pasukan bebas melihat cadangan nama tokoh lain yang boleh diterima masyarakat setempat untuk turut diuji kaji. Calon juga perlu melepasi pelbagai saringan.

Tidak semestinya mereka yang berada dalam struktur utama parti pada peringkat bahagian akan dipilih sebagai calon," katanya dalam temu bual dengan BH, baru-baru ini. Jika mengikut aliran pengundian sebelum ini, masih ramai pengikut setia kepada parti masing-masing walaupun siapa dicalonkan.

Aliran ini jelas terutama di Pantai Timur, antara pengikut tegar UMNO dan PAS. Tetapi untuk PRU-14, mungkinkah pengundi 'atas pagar' penentu kemenangan? Kelompok ini juga dianggap sebagai persuadable voters yang masih boleh dirayu untuk memilih BN, kebanyakannya dikatakan kalangan kakitangan awam dan mereka yang mendapat manfaat hasil dasar kerajaan.

Kelompok atas pagar juga akan mengundi berdasarkan kehendak hati, ikut isu semasa, melihat peribadi calon dan keselesaan pada diri sewaktu hari mengundi, misalnya disediakan kemudahan pengangkutan dan duit tambang.

Mereka ini juga terdedah kepada persepsi dan bagaimana BN menjawab sebarang isu ditimbulkan, terutama dalam media sosial. Sesetengah strategi pembangkang 'tembak dahulu, periksa kemudian' kadang-kala 'berjaya' mencetuskan persepsi negatif kepada kerajaan dan BN. Sebab itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mahu menyaman Rafizi Ramli, dalam kes 'tembak dahulu, periksa kemudian'.

Sudah banyak berlaku di pedalaman Sarawak dan Sabah, kes tertembak rakan/saudara sendiri, kerana tidak memeriksa dahulu pergerakan dalam belukar yang disangka babi hutan.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa BH)

430 dibaca
Berita Harian X